Lelaki maut terkena renjatan elektrik

Keadaan mangsa yang terkena renjatan elektrik dalam kejadian di saluran kabel utama berhampiran susur keluar Taman Laguna, Pulau Indah di sini pada Khamis.
Keadaan mangsa yang terkena renjatan elektrik dalam kejadian di saluran kabel utama berhampiran susur keluar Taman Laguna, Pulau Indah di sini pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian di saluran kabel utama berhampiran susur keluar Taman Laguna, Pulau Indah di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian pada jam 4.04 petang.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dengan kekuatan seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 4.14 petang.

"Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an, bagaimanapun kerja-kerja untuk mengeluarkan mangsa masih belum dapat dijalankan kerana masih ada arus elektrik di laluan mangsa terkena renjatan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya kini masih menunggu kehadiran pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) untuk bantuan.

"Anggota kini berada di lokasi dan melakukan pemantauan bagi tindakan selanjutnya. Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Morni berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada pihak polis berhubung kejadian.

Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian terbabit.