Kontrak YTLC tamat tempoh

Dakwaan kontrak syarikat telekomunikasi itu ditamatkan KPM tidak benar

 Dr Mohd Gazali
Dr Mohd Gazali
A
A
A

PUTRAJAYA - YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) masih boleh mengambil bahagian dalam proses tender untuk perkhidmatan talian internet ke sekolah melibatkan tempoh mulai 1 Januari 2020 apabila proses tender secara terbuka dikeluarkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, kontrak perkhidmatan YTLC iaitu 1BestariNet telah tamat pada 30 Jun lalu dan bukannya ditamatkan oleh KPM.

Menurutnya, KPM tidak pernah meminggirkan mana-mana syarikat telekomunikasi yang layak termasuk dalam proses tender.

"Dakwaan KPM telah melanggar obligasi kontrak dan tidak bertindak dengan niat baik adalah tidak berasas.

"Segala tindakan yang diambil dalam aspek yang berkaitan dengan 1BestariNet adalah demi kepentingan guru, murid dan sekolah dalam menyediakan sistem pengajaran serta pembelajaran berkualiti demi mengoptimumkan sumber kewangan negara," katanya pada sidang media khas Perkhidmatan Talian Internet ke Sekolah di sini hari ini.

Mohd Gazali berkata, YTLC telah diberi kontrak 1BestariNet Fasa 1 bagi tempoh bermula 13 Disember 2011 hingga 30 Jun 2016.

Menurutnya, YTLC kemudiannya diberi kontrak 1BestariNet Fasa 2 untuk tempoh mulai 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019.

"Dakwaan bahawa KPM telah berlaku tidak adil kepada YTLC dan telah menamatkan kontrak syarikat berkenaan adalah tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menyediakan perkhidmatan hingga 31 Disember 2019, KPM telah memanggil syarikat-syarikat telekomunikasi utama di Malaysia termasuk YTLC sendiri untuk diberi penerangan mengenai perkhidmatan yang diperlukan oleh KPM bagi satu tempoh selama enam bulan yang merupakan sementara sebelum tender baharu dibuka," katanya.

Susulan itu, katanya, KPM telah melantik tiga syarikat iaitu TM One, Maxis dan Celcom Axiata yang telah mengemukakan tawaran berdasarkan liputan terbaik oleh syarikat.

"KPM telah mengambil segala tindakan secara teratur dalam menawarkan kerja penyediaan perkhidmatan selama enam bulan kepada tiga buah syarikat tersebut.

"Ini termasuklah mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan dan selari dengan dasar kerajaan pada hari ini," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan YTLC bahawa pihaknya ada menawarkan solusi lengkap perkhidmatan internet percuma dan Frog VLE bagi tempoh sementara sehingga tender baharu dibuat oleh KPM, dakwaan itu juga tidak adil dan tidak berasas.

Katanya, meskipun kontrak YTLC berakhir 30 Jun 2019 tetapi atas faktor timbang rasa dan sikap tanggungjawab, KPM telah meluluskan permohonan YTLC untuk kekal menggunakan pemancarnya yang ada di kawasan sekolah di seluruh negara selama tiga bulan sehingga 30 September 2019.

Terdahulu kontrak projek 1BestariNet yang diberikan kepada YTL Communications tidak lagi disambung setelah fasa 2 berakhir pada 30 Jun lalu.