Kes projek solar: Rosmah tarik balik dua rayuan

Rosmah Mansor
A
A

PUTRAJAYA - Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menarik balik dua rayuannya di Mahkamah Rayuan berkaitan pemindahan kes rasuahnya yang pertama melibatkan projek sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak ke Mahkamah Tinggi lain untuk dibicarakan bersama dengan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu panel tiga hakim bahawa beliau diarahkan untuk tidak meneruskan rayuan berkenaan.

Beliau berkata rayuan pertama adalah berhubung pemindahan kes Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah ke Mahkamah Tinggi yang didengar dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan manakala rayuan kedua berkaitan kes rasuah untuk dibicarakan bersama dengan kes Rizal.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek solar: Rosmah kekal pengakuan tidak bersalah

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar tidak membantah penarikan rayuan berkenaan.

Hakim Mahkamah Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim yang bersidang bersama Datuk Kamaludin Md Said dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya membatalkan rayuan itu.

Rosmah, 67, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 15 Nov tahun lepas terhadap dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal, 45, juga mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan menerima rasuah melibatkan projek yang sama.

Pada 2 Mei lepas, Collin membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Rosmah didengar oleh Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 30 Mei lepas, Mohamed Zaini membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes projek solar yang dihadapi Rosmah dan Rizal dibicarakan bersama.

Sementara itu, pada 4 Okt tahun lepas, Rosmah minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytihar pendapatan beliau kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Mohamed Zaini memerintahkan kes berkenaan didengar berasingan daripada kes projek solar.

Pada 10 April lepas, Rosmah, didakwa pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat mendapatkan projek berkenaan.

Perbicaraan kes Rosmah dan Rizal dijadualkan bermula pada 3 Feb manakala kes pengubahan wang haram Rosmah ditetapkan pada 11 Mei.

Rosmah tidak hadir pada prosiding hari ini. - Bernama