Riza Aziz tak mengaku salah ‘cuci wang haram’ 1MDB RM1.25 bilion

Riza Aziz meninggalkan Mahkamah Sesyen 8,Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - FOTO SINAR HARIAN ZAHID IZZANI
Riza Aziz meninggalkan Mahkamah Sesyen 8,Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - FOTO SINAR HARIAN ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini sebentar tadi atas lima pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 (RM1.25 bilion) lapan tahun lalu.

Pertuduhan ke atas pengasas syarikat pembikinan filem Red Granite Production yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Riza Shahriz Abdul Aziz, 43, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram sebanyak AS$1,173,104 dan AS$9 juta.

Wang tersebut dipindahkan melalui transaksi daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, Amerika Syarikat milik Red Granite Production Inc.

Wang tersebut adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 April 2011 hingga 10 Oktober 2012 di City National Bank Los Angeles Main, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima pula, anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa menerima wang sejumlah AS$238,000,000 daripada akaun milik Aabar Investments PJS Limited di BSI SA Lugano ke akaun BSI Bank Ltd. Singapore milik syarikat Red Granite yang mana wang tersebut adalah hasil penyelewengan 1MDB.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Jun 2012 hingga 14 November 2012 di Ltd. Temasik Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin selain meminta Riza menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan, namun memohon jumlah jaminan tersebut dibayar secara ansuran sehingga Isnin atau Selasa ini.

Kumaraendran juga menjelaskan, pasport anak guamnya kini tidak sah kerana telah dikenakan sekatan perjalanan oleh Jabatan Imigresen.

Hakim Rozina tidak bersetuju dengan bayaran jaminan secara ansuran, namun beliau merekodkan permohonan tersebut.

Riza yang dijamin dua rakannya diminta menjelaskan bayaran jaminan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Riza Aziz akan didakwa lima pertuduhan AMLA

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Ogos ini.

Dua anak Najib iaitu Mohd Norashman dan Nooryana Najwa juga dilihat hadir ke mahkamah menemani abang tiri mereka.

Riza adalah anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu dan merupakan pemilik Red Granite Pictures.

Riza sebelum ini dipanggil ke SPRM sebanyak empat kali bermula 3 Julai tahun lalu bagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.