Riza Aziz akan didakwa lima pertuduhan AMLA

Riza Aziz - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Pengasas syarikat pembikinan filem Hollywood yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.10 pagi diiringi SPRM.

Riza Shahriz Abdul Aziz, 49, bakal berdepan lima pertuduhan membabitkan diri Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Peguambela Riza Aziz bersama Nooryana Najwa (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen 8,Makamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Peguambela Riza Aziz bersama Nooryana Najwa (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen 8,Makamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

Prosiding pendakwaan berlangsung dihadapan Hakim Rozina Ayob.

Riza adalah anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor dan merupakan pemilik Red Granite Pictures.

Riza sebelum ini dipanggil ke SPRM sebanyak empat kali bermula 3 Julai tahun lalu bagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak tiri Najib ditahan SPRM, akan didakwa esok

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah USD1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, USA bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 April 2011 dan 12 Mei di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, USA.

Riza juga dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan USD9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 Sept 2012 dan Okt 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah USD133 juta dan USD 60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapore bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temaesk Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah USD45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia