PH Sarawak gesa SPRM tidak lagi tangguh kes berprofil tinggi

Chong Chieng Jen
Chong Chieng Jen
A
A
A

KUCHING - Pakatan Harapan (PH) Sarawak berharap hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas individu berprofil tinggi di negeri ini berhubung dakwaan amalan rasuah dipercepatkan dan tidak lagi ditangguhkan, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, rakyat Sarawak telah menunggu begitu lama agar "ikan-ikan besar” berkenaan dibawa ke muka keadilan.

"PH Sarawak telah menggesa SPRM agar menyiasat individu berprofil tinggi di negeri ini sejak tahun lepas... Pada Januari 2019, Saya secara peribadi mengemukakan beberapa dokumen berhubung dengan dakwaan amalan rasuah membabitkan Kerajaan Negeri kepada SPRM.

"Kami gembira kerana akhirnya beberapa tindakan diambil,” kata Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tanpa mengira bagaimana para pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan politik kebencian dan langkah pemisahan, beliau yakin SPRM, sebagai sebuah badan bebas, akan terus menyiasat ke atas "ikan-ikan besar” ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.

"Sebagai pengerusi PH Sarawak, Saya ingin mengulangi bahawa PH Sarawak menyokong sepenuhnya penurunan kuasa di negeri ini dan pengagihan oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak kurang pentingnya perhatian terhadap tadbir urus yang baik dan langkah anti-rasuah,” katanya.

Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor dipetik dalam media tempatan sebagai berkata, lebih 50 laporan berhubung dakwaan rasuah di negeri ini termasuk aduan ke atas individu berprofil tinggi, diterima setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang laporan atau aduan mengenai rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya kerana SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan. -Bernama

Artikel Berkaitan: