'Hanya tiga minit tiga saat' - Anak Kelantan juara Asia baiki telefon

Muhammad Syukri pernah menyertai pertandingan di China dan mendapat tempat ke tiga Piala Dunia bagi kategori CPU,RAM dan UFS (Android) dengan catatan masa 10 minit 38 saat.
Muhammad Syukri pernah menyertai pertandingan di China dan mendapat tempat ke tiga Piala Dunia bagi kategori CPU,RAM dan UFS (Android) dengan catatan masa 10 minit 38 saat.
A
A
A

KOTA BHARU – Hanya tiga minit tiga saat diperlukan Muhammad Syukri Zaidi untuk membuktikan kehebatan kemahirannya apabila muncul juara pertandingan micro soldering peringkat Asia di Indonesia, sekali gus mengharumkan nama Kelantan di pentas antarabangsa.

Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih dalam persaingan lebih 200 peserta yang menguji ketangkasan, ketelitian dan kepakaran membaiki komponen mikro telefon pintar, termasuk cip pemproses (CPU).

Pemilik perniagaan Gadget Shop berusia 31 tahun dari Kubang Kerian di sini itu berkata, pertandingan berkenaan menuntut peserta membaiki papan induk (motherboard) iPhone 15 Pro Max yang diberikan dalam keadaan berfungsi sebelum memastikan peranti berkenaan kembali beroperasi selepas proses pembaikan.

Lebih membanggakan, kejayaan Muhammad Syukri (duduk) diraih dalam persaingan lebih 200 peserta yang menguji ketangkasan, ketelitian dan kepakaran membaiki komponen mikro telefon pintar, termasuk cip pemproses (CPU).
Lebih membanggakan, kejayaan Muhammad Syukri (duduk) diraih dalam persaingan lebih 200 peserta yang menguji ketangkasan, ketelitian dan kepakaran membaiki komponen mikro telefon pintar, termasuk cip pemproses (CPU).

Beliau yang dikenali sebagai Masteryie berjaya menyiapkan tugasan dalam tempoh tiga minit tiga saat, sekali gus mengatasi peserta Indonesia yang menduduki tempat kedua dengan catatan tiga minit 42 saat dan tempat ketiga dengan tiga minit 49 saat.

"Pertandingan itu antara yang paling sengit pernah saya sertai kerana tiga peserta terbaik mencatatkan masa hampir sama.

"Perbezaan hanya pada beberapa saat, jadi ia benar-benar menguji kemahiran dan ketelitian setiap peserta," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kubang Kerian di sini.

Muhammad Syukri memberitahu, micro soldering merupakan kemahiran khusus dalam bidang pembaikan telefon yang melibatkan komponen bersaiz sangat kecil pada papan litar, termasuk cip dan CPU.

Ujarnya, kemahiran berkenaan berada pada tahap kepakaran tinggi dan tidak dikuasai ramai juruteknik berbanding kerja membaiki telefon pada peringkat asas.

Mengulas penglibatannya dalam bidang itu, beliau memberitahu, minat terhadap teknologi elektrik dan elektronik sudah bermula sejak zaman pengajian di Politeknik Kota Bharu sebelum memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam.

Beliau kemudian mula menceburi industri pembaikan telefon pada 2015 dengan bekerja bersama kenalan sebelum menimba pengalaman selama kira-kira dua tahun dengan pihak lain.

Hanya tiga minit tiga saat diperlukan Muhammad Syukri untuk membuktikan kehebatan kemahirannya apabila muncul juara pertandingan micro soldering peringkat Asia di Indonesia, sekali gus mengharumkan nama Kelantan di pentas antarabangsa.
Hanya tiga minit tiga saat diperlukan Muhammad Syukri untuk membuktikan kehebatan kemahirannya apabila muncul juara pertandingan micro soldering peringkat Asia di Indonesia, sekali gus mengharumkan nama Kelantan di pentas antarabangsa.

"Selepas mendapat pengalaman dan mempelajari selok-belok bidang ini, saya mengambil keputusan untuk membuka perniagaan sendiri.

"Alhamdulillah, selepas lebih 10 tahun dalam industri, saya berjaya mengembangkan perniagaan kepada tiga cawangan di Kota Bharu, Kubang Kerian dan Tanah Merah," katanya.

Menurut beliau, perniagaan yang diusahakan itu kini mempunyai kira-kira 18 pekerja dan terus berkembang seiring permintaan terhadap perkhidmatan pembaikan telefon pintar.

Syukri berkata, penyertaannya dalam pertandingan antarabangsa bukan semata-mata untuk memburu kemenangan, sebaliknya mahu mencabar kemampuan diri, memperkenalkan kemahiran dimiliki serta membina jaringan dengan pakar dari seluruh dunia.

Katanya, sebelum meraih kejuaraan di Indonesia, beliau pernah menyertai beberapa pertandingan termasuk LUBAN Cup di MAEPS, Serdang, tahun lalu dengan memperoleh tempat ke-11 daripada kira-kira 150 peserta.

Beliau turut menyertai pertandingan di China dan mendapat tempat ke tiga Piala Dunia bagi kategori CPU,RAM dan UFS (Android).

"Setiap pertandingan memberi pengalaman berbeza kerana kita bertemu peserta yang mempunyai kemahiran tinggi dari pelbagai negara.

"Kegagalan sebelum ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus memperbaiki kemahiran sehingga akhirnya berjaya mencapai kemenangan di peringkat Asia," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan kemahiran teknikal seperti micro soldering perlu diberikan perhatian lebih meluas kerana ia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai bidang kerjaya dalam industri teknologi.

Sehubungan itu, beliau kini dalam perancangan menyediakan sebuah pusat latihan bagi berkongsi ilmu dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang pembaikan telefon pintar.

Katanya, beliau bersedia membimbing golongan muda yang benar-benar berminat mendalami kemahiran berkenaan, termasuk berkongsi pengalaman yang dikumpulkan sepanjang lebih sedekad dalam industri.

"Saya mahu melahirkan lebih ramai anak muda yang mempunyai kemahiran seperti ini. Jika ada yang bersungguh-sungguh mahu belajar, saya tidak keberatan untuk berkongsi ilmu sehingga mereka mampu menguasainya.

"Bagi saya, kemahiran adalah aset yang akan dibawa ke mana-mana. Sebab itu golongan muda perlu memanfaatkan usia 20 hingga 30 tahun untuk belajar dan membina kepakaran masing-masing," katanya.

Beliau turut menyifatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai antara laluan terbaik untuk anak muda membina masa depan menerusi penguasaan kemahiran yang diperlukan industri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!