Belum sempat WCE dibuka dah berlaku kemalangan

Mangsa yang parah diberikan rawatan segera sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung.
Mangsa yang parah diberikan rawatan segera sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung.
A
A
A

SERI MANJUNG - Belum sempat Lebuhraya Persisir Pantai Barat (WCE) dibuka sepenuhnya tetapi sudah berlaku kemalangan.

Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 64 tahun apabila mengalami cedera parah selepas terlibat nahas di Seksyen 9 WCE, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku pada jam 11.05 pagi itu membabitkan seorang lelaki warga emas yang menunggang motosikal dari arah Batu 6 menuju Lekir.

Menurutnya, setiba di Ramp 5, Seksyen 9 lebuh raya itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas.

"Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan selanjutnya.

"Mangsa dipercayai menceroboh kawasan larangan memandangkan lebuh raya terbabit belum dibuka sepenuhnya," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mangsa yang parah diberikan rawatan segera sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung.
Mangsa yang parah diberikan rawatan segera sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung.

Lebuhraya WCE sepanjang 233 kilometer merentasi Selangor dan Perak dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.044 bilion dengan RM3.122 bilion adalah kos bagi pakej pembinaan di Selangor, manakala RM1.922 bilion di Perak.

Artikel Berkaitan:

Jajaran Lebuhraya WCE di Selangor bermula dari Jalan Banting - KLIA (B18) hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km, manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2 km.

Bagi jajaran Lebuhraya WCE di Perak ia membabitkan lima pakej iaitu pakej lapan hingga 12 membabitkan 11 pembinaan susur keluar dan persimpangan bertingkat selain tiga kawasan rehat dan rawat (R&R).

Sebanyak 11 persimpangan bertingkat akan dibina di Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir, Sitiawan Selatan, Sitiawan Utara, Changkat Cermin, Kinta Barat, Beruas, A130, Trong dan Taiping Selatan.

Pada 31 Mei lalu, hanya Jajaran Seksyen 8 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghubungkan Hutan Melintang - Teluk Intan dibuka secara rasminya kepada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Seksyen 8 Lebuhraya WCE kini dibuka