Ambil tindakan tegas kes pencemaran Pasir Gudang: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar secara berterusan perlu diperkasakan dalam usaha menangani isu gangguan kesihatan di Pasir Gudang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mestilah segera dibendung dan mereka yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan perlu diperkasakan dengan menyediakan kelengkapan teknologi terkini dan sumber manusia yang mencukupi serta terlatih supaya dapat melaksanakan fungsi memantau dan memelihara alam sekitar dengan lebih berkesan.

"Perlu diingatkan bahawa tumpuan kita untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri tidak seharusnya mengetepikan kelestarian alam sekitar dan hak rakyat untuk mengecapi kehidupan yang sihat dan selamat.

"Kita tidak mahu tragedi kebocoran gas di Pasir Gudang berulang. Rakyat mestilah sentiasa dilindungi daripada kesan buruk 'pemerkosaan' alam sekitar dan pembangunan yang tidak mampan.

"Perbuatan pihak-pihak yang gelojoh dan tamak haloba mengaut keuntungan dengan membahayakan keselamatan dan kesihatan orang ramai tidak boleh dikompromi sama sekali," katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata, segala pesanan dan saranan baginda wajar diambil iktibar.

Artikel Berkaitan:

"​Pada bulan Mei yang lalu, genap setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri Johor yang mana dalam tempoh setahun ini telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan negeri dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

"Ia termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif peduli rakyat seperti Skim Takaful Warga Emas, Insentif Harapan Johor, Program Kad Sihat Johor, Bantuan Khas Nelayan dan lain-lain bentuk bantuan khususnya kepada golongan B40.

"​Tumpuan yang paling utama pastinya ialah untuk memenuhi harapan dan aspirasi rakyat termasuklah dalam perkara-perkara utama yang berkaitan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Ujarnya lagi, usaha mengekalkan dan memelihara muafakat rakyat Johor adalah penting dalam usaha memacu kemajuan dan kemakmuran negeri.

"Elakkan sengketa politik yang boleh memecahbelahkan rakyat dan yang penting ialah kepimpinan kerajaan negeri perlu erat dan muafakat untuk memajukan negeri dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

"Kepimpinan kerajaan negeri dan jentera pentadbiran kerajaan perlu dipastikan sentiasa utuh untuk membolehkan mereka melaksanakan mandat rakyat dengan berkesan.

"Justeru saya ingin menzahirkan sokongan padu kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan menteri besar dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," katanya.