Majoriti mahu bercerai kerana masalah kewangan

Liow Cai Tung
Liow Cai Tung
A
A
A

KOTA ISKANDAR - Majoriti pasangan yang berkahwin di negeri ini berhasrat untuk bercerai disebabkan tekanan kewangan yang dihadapi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, rekod tahun ini juga menunjukkan rata-rata pasangan yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) menyatakan hasrat untuk bercerai atas alasan tersebut.

"Majoriti kes cenderung mahu bercerai di Johor disebabkan masalah kewangan dan tekanan ekonomi, malah tahun ini sahaja YPKDT terima 43 kes kaunseling di mana 35 daripadanya melibatkan masalah kewangan.

"Tahun lalu, YPKDT telah menerima 116 kes kaunseling di mana 76 kes daripadanya melibatkan perkahwinan dan 60 peratus daripada 76 kes itu kerana masalah kewangan," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.

Katanya, sesi kaunseling dijalankan boleh dibuat melalui pelbagai platform termasuk bersemuka ataupun perbualan telefon.

Namun katanya, sesi tersebut hanya untuk membantu mana-mana pasangan membuat keputusan, bukannya membuat keputusan bagi pihak mereka.

"YPKDT cuma menawarkan perkhidmatan kaunseling secara intervensi. Sama ada mereka bercerai atau tidak, itu kena rujuk kepada pihak mahkamah.

"Kaunseling itu boleh membantu mereka buat keputusan sendiri, kita tak buat keputusan untuk mereka. Boleh dilakukan secara bersemuka, telefon atau emel," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menggesa orang awam agar menghubungi talian eKasih 15999 bagi mendapatkan bantuan.

Dalam sesi menjawab soalan lisan di persidangan DUN Johor hari ini, beliau memaklumkan YPKDT dalam usaha menubuhkan Perkhidmatan Bantuan Guaman kepada wanita menghadapi masalah rumah tangga yang dijangka dilaksanakan Oktober ini.