Penganggur rompak RM200 dijel 7 tahun, sebat

Tertuduh Muhammad Syahiran Abdul Aziz (kanan) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum dan akan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa
Tertuduh Muhammad Syahiran Abdul Aziz (kanan) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dihukum dan akan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyamun sebuah kedai serbaneka dengan menggunakan pisau, bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan humuman itu terhadap tertuduh Muhammad Syahiran Abdul Aziz, 25.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamun menggunakan pisau di sebuah kedai serbaneka di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini sehingga menyebabkan kerugian RM200 pada jam 2.15 pagi, 23 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian lalu, tertuduh masuk ke kedai serbaneka tersebut dan mengambil air minuman sebelum menuju ke kaunter dan meminta untuk membeli rokok daripada dua pekerja yang berada di situ.

Semasa pekerja mengambil rokok, tertuduh tiba-tiba mengacukan pisau dan meminta pekerja menyerahkan wang tunai.

Mangsa yang ketakutan menyerahkan kesemua wang RM200 yang berada dalam peti simpanan sebelum tertuduh kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan kerana mengaku sudah insaf atas kesalahan yang dilakukan.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Tertuduh melakukan satu kesalahan yang serius iaitu merompak lebih-lebih lagi ketika kejadian dia membawa senjata tajam pisau boleh menyebabkan kecederaan dan mengancam nyawa,” katanya.