Tiga bot nelayan ditahan APMM

Antara bot yang dirampas APMM.
Antara bot yang dirampas APMM.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga buah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, dua bot nelayan Kelas C ditahan pada jarak lebih kurang 0.6 batu nautika dari Tenggara Pulau Kendi dan 1.7 batu nautika dari Barat Laut Pulau Kendi manakala sebuah bot nelayan Kelas B ditahan pada jarak lebih kurang 0.8 batu nautika dari Barat Laut Pulau Kendi.

Menurutnya, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan pada jam lebih kurang antara jam 6.40 pagi hingga jam 7.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat pekerja warga tempatan dan lapan pekerja warga Thailand berumur lingkungan 25 hingga 69 tahun berada di atas bot dipercayai melakukan kesalahan.

"Ketiga-tiga bot tersebut bersama lima gulung pukat tunda, ikan campur anggaran 875 kilogram. Kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pukat gulung dan hasil tangkapan ikan turut dirampas.
Pukat gulung dan hasil tangkapan ikan turut dirampas.

Hamizan berkata, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar zon penangkapan yang dibenarkan.

Katanya, APMM memandang serius berkenaan kesalahan Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penggunaan pukat tunda berdekatan pesisiran pantai bukan sahaja memerangkap dan memusnahkan anak-anak ikan yang sedang membesar malahan memusnahkan ekosistem marin yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!