Isytihar aset wajib, GPS kerajaan negeri dimaklumkan

 Kelvin Yii Lee
Kelvin Yii Lee
A
A
A

KUCHING - Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mengetuai Kerajaan Negeri, agar mewajibkan semua menteri dan ahli Parlimen negeri ini mengisytiharkan aset masing-masing bagi membantu meningkatkan keyakinan orang ramai di peringkat negeri.

Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu memperkenalkan inisiatif seumpama dan meminta mereka mengisytiharkan aset masing-masing selaras dengan semangat ketelusan dan akauntabiliti.

“Ini antara banyak langkah anti-rasuah yang perlu dilaksanakan terutama dengan peningkatan belanjawan pembangunan yang ditanggung Kerajaan Negeri tahun ini dan peruntukan akan datang dari Kerajaan Persekutuan.

“Adalah penting untuk memastikan semua dana awam ini, memberi manfaat kepada orang ramai dan bukan sahaja mereka yang berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini ketika menyambut baik Kerajaan Persekutuan membentangkan usul yang menghendaki ahli Parlimen mengisytiharkan aset, di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Yii, yang kini berada di Moscow, Russia bagi menghadiri Forum Antara Parlimen berkata, kajian menunjukkan bahawa satu pengisytiharan aset terbuka untuk penelitian awam dapat membantu memastikan pemimpin tidak menyalahguna kuasa mereka untuk kepentingan sendiri.

“Sejak tahun lepas, semua menteri Pakatan Harapan, timbalan menteri dan ahli Parlimen telah mengisytiharkan aset mereka termasuk pasangan dan keluarga. Semua maklumat berkenaan boleh didapati dalam talian dan terbuka untuk penelitian awam,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: