50 ditahan dipercayai terlibat parti liar

NIK ROS AZHAN
NIK ROS AZHAN
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 50 individu termasuk 13 orang wanita ditahan di sebuah bilik karaoke di Jalan Berapit di sini selepas mereka dipercayai terlibat dengan parti liar.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 12.40 malam tadi, polis turut mengesan beberapa remaja bawah umur yang terlibat dalam parti hari jadi itu.

Difahamkan, kumpulan terbabit baru mahu berjinak-jinak untuk menganjurkan pesta liar dan ada antara mereka pertama kali masuk ke pusat karaoke berkenaan selepas dibawa rakan. Mereka juga dikesan menggunakan alasan menyambut hari jadi seorang daripada peserta untuk memujuk rakan-rakan lain berhibur di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kebanyakan mereka yang ditahan adalah pekerja kilang, penganggur, selain empat daripadanya masing-masing dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan masih di bawah umur serta seorang ibu tunggal berusia 27 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada mereka iaitu dua lelaki dan seorang perempuan positif dadah. "Semakan yang dibuat mendapati dua lelaki terbabit yang juga pekerja kilang serta peniaga berusia 20 dan 22 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun masing-masing mempunyai dua rekod lampau bersabit kes dadah," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, polis turut merampas dua pil erimin 5, lima pil merah disyaki dadah serta sepeket kondom yang ditemui atas lantai dalam bilik berkenaan.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia di antara 15 hingga 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut. Tambahnya, tiga suspek yang positif dadah kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: