Kepulangan Zahid tak jejas hubungan Pas-UMNO

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas tidak akan mengganggu kerjasama antara Pas dan UMNO.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO dibuat atas dasar persetujuan organisasi kedua-dua parti, bukan atas dasar individu.

Katanya, Pas tidak mempunyai sebarang halangan, malah sentiasa mengalu-alukan kedatangan Ahmad Zahid dalam mengemudi kembali UMNO, yang selama ini tugasnya diserahkan kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Kita tidak ada masalah dengan Zahid, gabungan antara Pas dan UMNO tidak akan terkesan jika beliau memimpin semula UMNO, kerana pelantikan beliau dibuat secara sah, tidak ada salahnya Zahid kembali bertugas.

"Bagaimanapun kita berharap kes mahkamah beliau itu tidak akan memberi kesan kepada parti, malah saya yakin UMNO sendiri akan memastikan tiada perkara lain lagi yang akan berbangkit, yang boleh menjejaskan parti mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pakatan pembangkang sekarang ini berada di landasan yang tepat dan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Katanya, jangan hanya disebabkan Ahmad Zahid kembali bertugas, semua perkara akan jadi kucar-kacir.

"Kita perlu kekalkan momentum sedia ada ini dengan baik, usaha sama yang dilakukan antara kedua-dua parti sekarang ini dilihat mampu memberi kesan yang baik sehingga PRU15 nanti, Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid mengumumkan beliau kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO selepas bercuti selama enam bulan.

Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bagan Datuk, Perak.