Sarawak akan terus laksana pembangunan infrastruktur di Matu

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

MUKAH - Kerajaan negeri Sarawak akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur di Daerah Matu untuk memastikan rakyat dan daerah tersebut tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan meneruskan projek-projek berkenaan adalah mengambil kira kepentingannya, dalam meningkatkan ekonomi rakyat di daerah tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membina Jambatan Igan selain daripada Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh yang menghubungkan Daerah Matu hingga ke Tanjung Manis melalui rangkaian jalan pesisir.

Abang Johari berkata, pembiayaan dan pembinaan jambatan terbabit yang diambil alih kerajaan negeri itu memerlukan peruntukan dana yang besar.

"Setakat ini tender Jambatan Batang Lassa telah dikeluarkan secara terbuka, manakala Jambatan Igan sedang dalam proses tender,” katanya berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Matu 2019 Ke-28, Perasmian Gawai Raya Daerah Matu 2019, Majlis Pecah Tanah Projek Pusat Komersial Matu dan Perasmian Masjid Daerah Matu di Tapak Pesta Matu dekat sini, hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak mampu menanggung kos pembiayaan projek-projek itu, kerana mempunyai pendapatan tambahan sekitar RM3 bilion, hasil daripada pelaksanaan cukai jualan ke atas minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, dengan tambahan pendapatan itu, Sarawak kini mempunyai pendapatan keseluruhan berjumlah lebih RM10 bilion.

Sementara itu, pembukaan pekan baru di Daerah Matu itu dilaksanakan dengan projek Pusat Komersial Matu oleh LCDA (Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak).

Artikel Berkaitan:

Pekan baru itu mampu memberi impak besar kepada pembangunan industri kotej, yang giat diusahakan oleh penduduk daerah itu.

Pusat komersial yang akan turut dilengkapi kemudahan digital itu katanya, akan membolehkan produk-produk industri kotej Matu dipasarkan hingga ke luar negara. -Bernama