Risau pelajaran anak terjejas jika terus cuti

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abdul Aziz (kiri) membantu antara murid yang mengalami gangguan kesihatan ke kereta sebelum dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abdul Aziz (kiri) membantu antara murid yang mengalami gangguan kesihatan ke kereta sebelum dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Ibu bapa di Pasir Gudang bimbang pembelajaran anak-anak mereka terjejas jika sekolah ditutup.

Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka yang mahu anak-anak terus diberi cuti jika keadaan masih tidak stabil.

Mohamad Zohid Ibrahim, 42, berkata, anaknya bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

"Saya risau pembelajarannya tertinggal kerana dia akan menduduki peperiksaan," katanya.

Mohamad Zohid adalah bapa kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok, Nur Zara Husna, 12, iaitu seorang daripada mangsa yang mengalami pening dan muntah pagi tadi.

"Saya pun tidak pasti sama ada esok mahu hantar anak saya ke sekolah atau tidak, tengok dahulu keadaan bagaimana," katanya.

Juruteknik berkenaan berkata, dia dimaklumkan tentang keadaan anaknya oleh pihak sekolah kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

"Pihak sekolah hantar anak saya ke Klinik Kesihatan Masai dan selepas diperiksa saya bawa dia pulang dan dia dibekalkan ubat antibiotik.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, keadaannya bertambah baik. Minggu lalu, dia turut mengalami simpton sama, tetapi tidak dimasukkan ke hospital," katanya.

Sementara itu, Rosnifarah Minhat, 36, bekata, sekiranya keadaan masih lagi belum pulih, sekolah sepatutnya perlu ditutup untuk mengelakkan kejadian tidak diingini lagi berulang.

Anaknya, Mohammad Farid Firdaus Syamsul Anuar, 12, dari sekolah sama itu turut mengalami muntah dan loya ketika sesi persekolahan pagi tadi.

"Cikgu telefon dalam jam 12 tengah hari dan maklum tentang keadaan anak. Saya terus ambil dan hantar ke Klinik Kesihatan Masai untuk dapatkan rawatan.

"Syukur, tiada yang serius dan dia dibenarkan pulang. Ketika masalah sama terjadi pada minggu lalu, dia tidak terjejas. Saya sangat risau dengan keadaannya, apatah lagi dia ada sakit semput.

"Kemungkinan, esok saya tidak mahu hantar dia ke sekolah dan tidak pasti lagi sampai bila saya mahu cutikannya," katanya.