Lebih 300,000 tandatangan petisyen desak Moorthy berundur

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 301,038 telah menandatangani petisyen bagi mendesak Senator P Waytha Moorthy melepaskan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setakat jam 1 petang tadi.

Petisyen tersebut dilancarkan bulan lalu oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) dibuat menerusi tandatangan dalam talian change.org.

Menurut GPS, ia dilancarkan atas beberapa faktor antaranya ekoran tindakan Moorthy yang memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah kononnya rakyat negara ini yang beragama Hindu ditindas.

Selain itu, beliau juga turut berkeras mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), gagal mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini walaupun diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri serta mempunyai latar belakang yang agak kontroversi.

GPS dalam kenyataan di Facebook sebelum ini, menyasarkan untuk mencapai 500,000 tandatangan.

Sehingga kini, Moorthy masih lagi berdiam diri dan belum membuat sebarang kenyataan berhubung desakan ramai menuntut beliau meletakkan jawatan.

Malah, menerusi carian di Facebook, 'page' menggunakan nama Waytha Moorthy Ponnusamy yang sering menjadi tempat beliau mengeluarkan kenyataan didapati tidak lagi dapat diakses.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat boleh membuat petisyen, tetapi ia bukan satu arahan untuk Moorthy meletak jawatan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, penulis blog The Scribe, Datuk A Kadir Jasin berkata, sudah tiba masanya untuk Moorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), menarik diri secara sukarela dari posisinya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada terus membebankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Kadir turut menyifatkan Moorthy telah menjadi salah satu watak yang telah memecahbelahkan bukannya menjadi menteri yang menjaga perpaduan nasional.