TH Travel janji pakej umrah tiada kos tersembunyi

Mohd Romy (tiga, kanan) dan Agus Salim (empat, kanan) teruja menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran wakil agen dilantik TH Travel & Services Sdn Bhd bagi kawasan utara semenanjung Malaysia di bangunan Mara, Kuala Kurau hari ini.
Mohd Romy (tiga, kanan) dan Agus Salim (empat, kanan) teruja menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran wakil agen dilantik TH Travel & Services Sdn Bhd bagi kawasan utara semenanjung Malaysia di bangunan Mara, Kuala Kurau hari ini.
A
A
A

KUALA KURAU - Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) menjanjikan tawaran pakej umrah tanpa kos tersembunyi kepada jemaah bagi memastikan urusan ibadah mereka sempurna tanpa beban kewangan tambahan.

Pegawai Kewangan TH Travel Wilayah Utara, Mohd Romy Md Noor berkata, bermula harga pakej serendah RM5,190, pihaknya akan memastikan keseluruhan nilai pakej itu akan dimanfaatkan sepenuhnya kepada jemaah untuk menjalani ibadah umrah dengan memenuhi segala tawaran perkhidmatan dijanjikan.

Menurutnya, ramai jemaah umrah datang mengadu kepada pihaknya mendakwa sering berdepan masalah kos tersembunyi dalam tawaran pakej umrah murah oleh segelintir syarikat pelancongan.

"Sebagai contoh, isu penginapan jemaah di hotel termasuk makan dan minum di mana ada jemaah terpaksa mengeluarkan bayaran tambahan untuk makan tengah hari dan malam disebabkan pakej penginapan hotel hanya meliputi sarapan sahaja.

"Selain itu, terdapat pakej umrah murah tidak menyertakan kos tambahan sewa bas bagi menjalani program ziarah luar Madinah seperti melawat Jabal Uhud, umrah Jaranah dan umrah Hudaibiyah dan situasi ini akhirnya membebankan jemaah.

"Dari pihak TH Travel, kita akan memastikan setiap jemaah yang mengikuti pakej kami tidak perlu memikirkan sebarang permasalahan tambahan apabila menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran wakil agen sah lantikan TH Travel, Agus Salim Mustafa di Bangunan Mara, di sini hari ini.

Mohd Romy (tiga, kiri) dan Agus Salim (tengah) menunjukkan bilik pengajian kursus umrah yang berkonsepkan 'Arabic' ditawarkan syarikat TH Travel di bangunan Mara, Kuala Kurau.
Mohd Romy (tiga, kiri) dan Agus Salim (tengah) menunjukkan bilik pengajian kursus umrah yang berkonsepkan 'Arabic' ditawarkan syarikat TH Travel di bangunan Mara, Kuala Kurau.

Mohd Romy berkata, pihaknya turut mengakui banyak kes penipuan pakej umrah berlaku di negara ini disebabkan kegagalan syarikat pelancongan menyelesaikan dan mengesahkan urusan tempahan tiket penerbangan terhadap jemaah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, alasan jemaah tidak dapat visa kerap digunakan segelintir syarikat untuk memperdayakan mereka, walhal isu sebenar adalah keperluan menempah tiket penerbangan segera.

"Setelah tempahan tiket kapal terbang dibuat, urusan visa, penginapan dan sebagainya sepatutnya tiada masalah.

"Atas faktor itu, TH Travel hanya mengambil penerbangan secara terus dan bertaraf lima bintang seperti Saudi Air atau Malaysia Airlines (Mas) supaya urusan tempahan tiket kapal terbang dapat dimuktamadkan serta-merta," katanya.

Sementara itu, Agus Salim sewaktu ditemui menyasarkan sekurang-kurangnya 500 jemaah dari kawasan Perak Utara akan dapat didaftarkan untuk mengikuti pakej umrah ditawarkan TH Travel sepanjang tahun ini.

Selain pakej ibadah umrah, beliau menegaskan TH Travel turut menawarkan pakej pelancongan menarik ke pelbagai destinasi pelancongan terkemuka di seluruh dunia dan dalam negara seperti Acheh, Iceland dan Baitul Muqadis dengan harga berpatutan.

"Paling penting setiap pakej pelancongan direncana TH Travel adalah dijamin selamat dan penuh pengisian kerohanian," katanya.