Saman premis makanan gagal pasang papan tanda larangan merokok

Lee Boon Chye(tiga dari kiri) merasmikan Persidangan Sainstifik Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini.
Lee Boon Chye(tiga dari kiri) merasmikan Persidangan Sainstifik Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini.
A
A
A

SEREMBAN - Baki enam bulan penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan premis makanan akan dilaksanakan pada Januari 2020, Kementerian Kesihatan menasihatkan pemilik premis supaya memasang papan tanda larangan merokok bagi elak dikenakan tindakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, daripada 111,042 premis yang diperiksa di seluruh negara, sebanyak 26,357 premis masih gagal berbuat demikian.

“Buat masa ini kita masih dalam proses pendidikan dan hanya beri amaran kepada pemilik premis. Kebanyakannya telah patuhi peraturan ditetapkan.

“Tapi jika tahun depan masih ada yang tidak memasang papan tanda larangan, kita akan ambil tindakan saman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Sainstifik Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut menggalakkan premis makanan supaya tidak lagi menjual rokok dan ada yang secara sukerala sudah berbuat demikian.

Menurutnya, inisiatif berkenaan amat baik kerana menjadi harapan kerajaan supaya penjualan rokok tidak senang untuk diakses.

“Contohnya Restoran Pelita yang secara sukarela berhenti menjual rokok dan kita sangat gembira dengan inisiatif diambil. Tapi itu terpulang kepada masing-masing.

“Pernah ada cadangan larang premis makanan jual rokok, tapi ia masih di peringkat pertimbangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, program Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuet) yang disediakan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan sejak dilancarkan pada tahun 2012 menunjukkan peningkatan terutama selepas pengumuman kerajaan peluasan kawasan larangan merokok.

Katanya, berdasarkan statistik pendaftaran peserta pada tahun 2015 iaitu 7,757, (2016-9,570); (2017-10,240) dan (2018-20,032).

“Tapi saya rasa faktor paling penting peningkatan ini adalah pengetahuan rakyat tentang bahaya merokok. Bukan setakat tahu merokok ini boleh mudarat kesihatan, tapi turut beri kesan kepada yang tidak merokok.

“Sekarang ini pun kita lihat kebanyakan mereka yang ingin merokok di premis makanan secara automatik akan keluar untuk menghisap rokok. Tapi, tidak dinafikan masih ada yang masih degil,” katanya.