Polis Marin rampas alkohol seludup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Pasukan Polis Marin Labuan hari ini menyita sejumlah minuman keras bernilai RM6,000 dipercayai cuba diseludup masuk ke sini.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan dibuat di perairan Sungai Sarap Menumbok awal hari ini selepas sepasukan polis Marin yang melakukan rondaan di perairan pulau ini mengekori sebuah bot laju dari Labuan ke Menumbok.

“Bot yang dikesan pada kira-kira 1.30 pagi itu dilihat berhenti di satu kawasan dan sekumpulan penyeludup dilihat memunggah barang dari dalam bot ke sebuah van.

“Bagaimanapun selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan penyeludup terbabit bertindak melarikan diri menaiki van berkenaan manakala tekong bot pula terjun ke dalam air, meninggalkan sebahagian barang seludup dan bot,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata minuman keras bernilai RM6,000 berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tindakan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: