Abu Kassim komited perangi rasuah

Tan Sri Abu Kassim menyampaikan hujah pada Bicara Minda yang diadakan di Dewan Karangkraf, semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Tan Sri Abu Kassim menyampaikan hujah pada Bicara Minda yang diadakan di Dewan Karangkraf, semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

TAN Sri Abu Kassim Mohamed dikenali kerana mempunyai pengalaman luas dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Berani, tegas dan komited. Itu gambaran yang boleh diberikan kepada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu yang kini terus memegang tanggungjawab memerangi rasuah apabila dilantik menjadi Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC).

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang kini berusia 59 tahun bergelumang dengan tanggungjawab menangani rasuah bermula pada 1984 ketika beliau dilantik sebagai pegawai siasatan, Cawangan Tatatertib, Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kuala Lumpur.

Pengalaman luas tersebut memberinya peluang untuk berkhidmat pula dalam SPRM pada tahun 2009 dengan menjadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan setahun kemudian diberi tanggungjawab mengemudi badan berkanun itu.

Namun pada 2016, Abu Kassim yang berkelulusan Sarjana Sains dalam bidang keadilan jenayah daripada Michigan State University, Amerika Syarikat telah memohon kepada kerajaan bagi mempercepatkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018 kepada 1 Ogos 2016.

Permohonan itu juga dimaklumkan tiada kaitan dengan tekanan mana-mana pihak kerana keputusan itu dilakukan setelah beliau menerima tawaran daripada International Anti Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia.

Ancaman

Dalam tempoh perkhidmatannya, ketelusan dan keberaniannya terserlah apabila beliau pernah menyatakan bahawa lebih rela meletakkan jawatan daripada mengambil tindakan terhadap pegawainya yang hanya menjalankan kewajipan mereka di bawah undang-undang ekoran serangan blogger terhadap pegawai SPRM selepas Pengarah Operasi Khas suruhanjaya itu, Datuk Bahri Mohd Zin membuat kenyataan bahawa SPRM berkemungkinan besar akan membuat rayuan terhadap keputusan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup dua kes berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Berkaitan:

Dua keperibadian beliau itu juga masih boleh dilihat dalam Bicara Minda bersama Sinar Harian semalam. Abu Kassim turut berkongsi cerita dirinya pernah menerima ancaman ketika menerajui SPRM dalam kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International Sdn Bhd.

Selepas peralihan kuasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei tahun lalu, perkhidmatan Abu Kassim masih diperlukan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau diberi mandat mengetuai GIACC yang ditubuhkan kerajaan pada 1 Jun 2018.

Dalam bicaranya juga, beliau akui memasuki 35 tahun dalam tugas memerangi rasuah. Katanya, stigma masyarakat terhadap pesalah rasuah sudah berbeza apabila tiada herdikan sosial menyebabkan mereka yang melakukan kesalahan rasuah tidak lagi berasa malu.

Biarpun perbezaan itu mengundang hairan kepadanya, beliau masih mengharapkan rakyat untuk memberikan peluang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, Latheefa Koya untuk menjalankan tugas memerangi rasuah.