PTSB terima pelajar baharu

Pelajar mendengar pelbagai taklimat sepanjangan Minggu Haluan Siswa.
Pelajar mendengar pelbagai taklimat sepanjangan Minggu Haluan Siswa.
A
A
A

KULIM – Seramai 1,030 pelajar baharu mendaftar bagi mengikuti pelbagai program pengajian sesi Jun 2019 di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).

Pengarah PTSB, Lt Kolonel Bersekutu (PA) Yusma Yusof berkata, pendaftaran melibatkan 12 program peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan awam, elektrik dan mekanikal serta perdagangan.

Yusma berkata, PTSB mengucapkan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran semua waris dan siswa baharu yang telah memilih politeknik ini sebagai destinasi pengajian tinggi.

"Kejayaan ini adalah berkat usaha pelajar dan diiringi doa ibu bapa serta keluarga mereka yang mahu melihat mereka berjaya," katanya.

Menurutnya, peluang yang sangat berharga ini hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk menimba ilmu kemahiran dalam bidang pengajian masing-masing sepanjang berada di PTSB.

"Setiap kejayaan memerlukan perancangan rapi dan disertai usaha gigih serta disiplin diri yang tinggi.

"Harapan saya dan juga ibu bapa serta keluarga adalah supaya pelajar bersemangat dalam menuntut ilmu dan mengejar kecemerlangan dan memperolehi diploma," katanya.

Pihak politeknik sememangnya bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan anak didik.

Artikel Berkaitan:

"Bermula petang semalam, pelajar baharu telah mengikuti program Minggu Haluan Siswa yang melibatkan taklimat pengajian, asrama, perpustakaan, penajaan dan sebagainya.

"Mereka akan didedahkan dengan taklimat penting bagi membentuk sahsiah dan jati diri serta memupuk pemahaman undang-undang dan peraturan-peraturan PTSB," katanya.