Kes saman kerajaan: NFCorp, 10 lagi diperintah fail pembelaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan 10 pihak lain hari ini diperintah untuk memfailkan penyataan pembelaan mereka dalam kes saman oleh kerajaan bagi menuntut wang RM253.6 juta yang dipinjamkan kepada syarikat itu yang diuruskan oleh suami dan tiga anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abbas yang mewakili kerajaan berkata Hakim S Nantha Balan mengarahkan kesemua defendan itu memfailkan penyataan pembelaan masing-masing sebelum atau pada 25 Julai ini.

"Mahkamah juga menetapkan 13,14,15,17 dan 20 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes tersebut dan 22 Ogos serta 18 Disember ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas hadir ketika pengurusan kes itu dalam kamar hakim berkenaan, hari ini.

Dalam saman difailkan pada 31 Mei lepas, kerajaan selaku plaintif tunggal, menamakan NFCorp sebagai defendan pertama manakala suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah yang dirujuk sebagai "Keluarga Salleh" dinamakan sebagai defendan kedua hingga kelima.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah enam syarikat keluarga itu yang dirujuk sebagai "Syarikat-Syarikat Keluarga Salleh” iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Real Food Corporation Sdn Bhd; Meatworks Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd; Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd sebagai defendan keenam hingga ke-11.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan menuntut daripada NFCorp dan keluarga Mohamad Salleh berjumlah RM253.6 juta, iaitu jumlah wang yang terhutang dan perlu dibayar oleh NFCorp bersama dengan faedah dua peratus setahun.

Kerajaan juga memohon pengisytiharan dari mahkamah, agar keluarga Mohamad Salleh secara peribadi bertanggungjawab terhadap pembayaran balik hutang itu, sejumlah RM118.04 juta yang disalahgunakan daripada pinjaman dan keuntungan rahsia timbul daripadanya, serta hak Putrajaya untuk menuntut hak hartanah dibeli menggunakan pinjaman RM250 juta yang dipinjam oleh NFCorp daripada kerajaan.

Menurut penyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa pada 6 Disember 2007 satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFCorp untuk memberi pinjaman sebanyak RM250 juta bagi membiayai sebahagian penubuhan dan operasi sebuah Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan, selaras dengan dasar kerajaan untuk membangun dan memajukan pengeluaran daging lembu serta produk-produk daging tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dakwa plaintif atas permintaan NFCorp, pinjaman itu dikeluarkan dalam Akaun Pinjaman Khas (APK) dalam tiga peringkat berasingan dari 9 Januari 2008 hingga 31 Mac 2009 dan melalui pinjaman tersebut, kerajaan telah meluluskan pengeluaran berjumlah RM180.51 juta antara 24 Januari 2008 dan 3 Januari 2011.

Kerajaan mendakwa, daripada jumlah RM180.51 juta, hanya RM8.32 juta dibayar secara langsung kepada pihak ketiga untuk membiayai projek Pusat Fidlot Nasional, manakala baki sebanyak RM172.2 juta telah dibayar ke dalam akaun operasi NFCorp dengan Malayan Banking Berhad selain mendakwa RM118.04 juta telah disalahgunakan oleh "Keluarga Salleh".

Kerajaan juga mendakwa daripada jumlah itu (RM118.04 juta) sebanyak RM9.76 juta didakwa disalahguna untuk membayar sebahagian dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh National Meat & Livestock Corp yang merupakan defendan keenam dan sejumlah RM1.8 juta telah digunakan untuk membayar kepada seorang individu iaitu Shamsubahrin Ismail, bagi tujuan yang tidak didedahkan.

Kerajaan turut mendakwa "Keluarga Salleh" juga menggunakan wang pinjaman itu antaranya untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya pada harga RM3.36 juta dan RM1.51 juta dibayar kepada dua syarikat guaman, dengan sebahagiannya turut dibayar bagi pembelian sebuah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara oleh Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah. - Bernama