Kilang dikenal pasti cemar Sungai Semenyih diarah tutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit diarah tutup selepas dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih petang semalam sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) sungai berkenaan dihentikan operasinya.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor Hee Loy Sian berkata pihaknya mengarahkan kilang berkenaan menghentikan operasinya bagi tujuan membendung pencemaran daripada menjadi lebih buruk.

"Langkah pembendungan menggunakan activated carbon juga dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan pensempelan dijalankan di lokasi yang telah ditetapkan di antara titik perlepasan kilang berkenaan sehingga ke Sungai Rinching sejauh 450 meter yang bersambung ke Sungai Semenyih.

"Sehingga pukul 6.00 pagi tadi, kesan bau menurun sehingga 0 ton daripada tujuh ton pada pukul 3.00 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya jabatan-jabatan berkaitan sedang mengkaji tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas kilang berkenaan berdasarkan Enakman Luas 1999 seperti perintah di bawah Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999 yang boleh dikeluarkan kepada pihak kilang menghentikan operasi bagi tujuan melindungi alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam.

Sejumlah 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat susulan insiden itu.

Operasi LRA Semenyih terpaksa dihenti sejak pukul 5.00 petang semalam susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan punca pencemaran yang berada pada jarak 16km dari muka sauk loji telah dikenal pasti.

Orang ramai boleh merujuk makluman rasmi dan status terkini melalui laman sesawang www.syabas.com.my dan aplikasi telefon bimbit Air Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: