Gerai makan MPK bakal dirobohkan

Mohamad Yasid turun padang meninjau keadaan gerai makan berkenaan yang uzur dan mengancam keselamatan orang ramai.
Mohamad Yasid turun padang meninjau keadaan gerai makan berkenaan yang uzur dan mengancam keselamatan orang ramai.
A
A
A

KLANG - Gerai makan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Simpang Empat Teluk Pulai dan hadapan Econmart, di sini akan dirobohkan bagi projek pelebaran jalan.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah menyerahkan notis pengosongan kepada peniaga terbabit untuk berpindah.

“Kita sudah mengarahkan semua peniaga untuk berpindah pada hujung bulan ini (30 Jun) dan mencari premis baharu untuk memulakan perniagaan mereka memandangkan gerai terbabit akan dirobohkan berikutan kerja-kerja pelebaran jalan di kawasan terbabit akan dilaksanakan kelak.

“Masing-masing faham dan akur dengan arahan ini kerana sudah banyak kali kita serahkan notis pengosongan kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MPK di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, hari ini.

Menurut beliau, sehingga tempoh itu, peniaga masih lagi dibenarkan menjalankan perniagaan mereka.

“Seramai 14 peniaga di Gerai Makan MPK di Simpang Empat Teluk Pulai dan lima peniaga di gerai makan hadapan Econmart belum berpindah dan masih menjalankan perniagaan mereka.


Gerai Makan MPK di Simpang Empat Teluk Pulai akan dirobohkan kerana uzur dan terlibat dalam projek pelebaran jalan.
Gerai Makan MPK di Simpang Empat Teluk Pulai akan dirobohkan kerana uzur dan terlibat dalam projek pelebaran jalan.

“Bagaimanapun mereka sudah mempunyai premis perniagaan baharu dan hanya menunggu masa untuk berpindah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohamad Yasid, keadaan gerai makan terbabit juga terlalu uzur dan mengancam keselamatan orang ramai.

“Sudah lebih 20 tahun Gerai Makan MPK ini beroperasi dan keadaannya kini terlalu uzur, tidak selesa selain mengundang bahaya kepada pelanggan.

“Jadi kita putuskan untuk robohkan bangunan ini untuk memberi laluan kepada projek lain demi kesejahteraan masyarakat di kawasan terbabit,” katanya.