Cari dalang punca pencemaran udara di Pasir Gudang!

A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor perlu berani dalam mencari dalang yang bertanggungjawab terhadap insiden terbaharu pencemaran udara di Pasir Gudang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata JAS juga perlu jujur mengemukakan dalang yang berselindung di sebalik pencemaran tersebut.

"JAS Johor perlu jujur dan berani memainkan peranan bagi mencari dan mengemukakan dalang-dalang yang berselindung di sebalik pencemaran ini.

"Syarikat-syarikat tersebut perlu diaudit dan disiasat sama ada mereka mengikut piawaian alam sekitar untuk melupuskan sisa berjadual mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi mana-mana syarikat yang didapati melanggar piawaian pembuangan sisa pepejal tersebut.

Selain itu, beliau turut berkata pembelaan perlu diberikan kepada mangsa-mangsa yang terjejas terutamanya golongan pelajar.

"Mangsa harus diberi pembelaan yang mana kelas tambahan dan tuisyen sewajibnya diberi selain kelas-kelas gantian mereka kerana sekolah ditutup.

"Isu pencemaran kimia di Pasir Gudang seharusnya diambil serius kerana ia melibatkan nyawa dan kesihatan para pelajar dan penduduk sekitar," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia