Ugut mak ayah guna pisau kerana enggan pujuk isteri

x-default
x-default
A
A
A

KEPALA BATAS - Berang kerana tidak menurut permintaan untuk memujuk isterinya, seorang lelaki tergamak mengugut bapa dan ibu kandungnya menggunakan sebilah pisau belati di sini, petang kelmarin.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai melakukan perkara itu selepas tidak dapat menerima teguran daripada kedua ibu bapanya terhadap perbuatannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada jam 7.05 petang, Selasa lalu di Kuala Muda, di sini.

Menurutnya, pada ketika itu, dua adik perempuan suspek turut berada di rumah dan menyaksikan kejadian tersebut.

"Mengikut keterangan bapanya, suspek meletakkan pisau belati di leher dan dada kirinya selain mengacukan senjata itu ke arah isterinya iaitu ibu kandung suspek. Suspek telah mengugut kedua-dua ibu bapanya kerana berang selepas ditegur.

"Hasil siasatan lanjut, kita mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak dapat menahan marah selepas bapanya enggan memujuk isterinya untuk pulang ke pangkuan," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Tambahnya, selepas mengugut kedua ibu bapanya, suspek mencampakkan pisau tersebut ke arah kaki ibunya sebelum beredar keluar dari rumah.

"Bimbang dengan perbuatan suspek, bapanya yang berusia 62 tahun itu membuat laporan polis semalam. Susulan daripada itu, kita berjaya menahan suspek kira-kira jam 5 petang semalam.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan dadah ke atasnya mendapati, suspek positif dadah jenis syabu dan morfin. Suspek juga mempunyai satu rekod lampau melibatkan kesalahan dadah," katanya.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.