Disangka binatang, lelaki maut ditembak bapa sepupu

Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena tembakan oleh bapa sepupunya yang menyangkakan dia adalah binatang buruan di Hutan Simpan Bukit Pelanduk, Ulu Sat, Machang pada Jumaat.
Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena tembakan oleh bapa sepupunya yang menyangkakan dia adalah binatang buruan di Hutan Simpan Bukit Pelanduk, Ulu Sat, Machang pada Jumaat.
A
A
A
MACHANG - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena tembakan oleh bapa sepupunya yang menyangkakan dia adalah binatang buruan di Hutan Simpan Bukit Pelanduk, Ulu Sat, di sini pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku pada jam 2 pagi itu dikatakan berlaku apabila seorang lelaki berusia 39 tahun telah tertembak mangsa berusia 27 tahun menggunakan selaras senapang patah buatan sendiri semasa memburu di kawasan terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Machang telah bergegas ke lokasi di belakang Pejabat Perhutanan Bukit Batu Tapong, di sini untuk membuat pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai seorang lelaki bersama selaras senapang patah buatan sendiri serta satu kelongsong dan empat peluru penabur.

"Pihak kami juga telah merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian.

"Berdasarkan keterangan, suspek secara tidak sengaja telah tertembak mangsa dengan menyangka anak sepupunya itu adalah binatang buruan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mangsa dibawa keluar dari kawasan kejadian dengan bantuan orang kampung.

Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat.

Muhamad Zaki memberitahu, hasil semakan rekod ke atas suspek dan mangsa mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

"Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah pada Sabtu untuk ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," ujarnya.