Betapa hebatnya penangan media sosial

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DALAM dua tiga hari ini alam siber kecoh dengan kes seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di negeri paling selatan tanah air berbirat tangan dan kaki akibat dirotan seorang guru.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan timbalannya, Teo Nie Ching.

Mereka beri jaminan kementerian akan pastikan kes tersebut akan ditangani secara adil.

Perkara tersebut menjadi perhatian menteri dan timbalannya itu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Namun, ketika kes masih dalam siasatan, ramai penyiasat persendirian dalam diam ikut mengambil bahagian membongkar kes itu untuk memberi bayangan siapakah yang bersalah dalam hal ini.

Sebaik sahaja mengetahui pelajar tersebut dirotan kerana mengucapkan kata kurang manis kepada guru tersebut, maka terbongkarlah satu-persatu kebobrokan pelajar tersebut.

Selain daripada keputusan peperiksaan yang menyakitkan mata melihatnya, gambar pelajar tersebut bersosial turut didedahkan di media sosial.

Bak kata pepatah orang putih, spread like wildfire. Kisah dalam kain pelajar perempuan itu terus sampai ke pengetahuan umum dalam sekelip mata.

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup dengan itu, satu persatu alumni sekolah di mana pelajar perempuan itu belajar tampil memberi penjelasan di media sosial dengan cuba melindungi guru yang didakwa merotan pelajar perempuan itu.

Betapa hebatnya penangan media sosial! Tidak sampai 24 jam habis semua latar belakang pelajar perempuan itu didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan warga net itu bukanlah justifikasi muktamad siapa yang betul atau salah berhubung kes berkenaan.

Sebaliknya, ia dilihat sebagai peringatan kepada orang lain supaya beradab dan tidak bertindak melakukan sesuatu perkara sesuka hati atau dengan kata lain nak ajar ‘orang itu’.

Walaupun bayangan di sebalik apa yang berlaku itu telah diberikan, hakikatnya kes guru merotan pelajar perempuan itu masih dalam siasatan polis.

Sama-samalah kita tunggu keputusannya nanti. Diharapkan kes itu menjadi pengajaran kepada semua pihak biarpun kes seumpama ini bukan pertama kali berlaku di negara kita.