Celcom-Digi bersatu: Apa yang rakyat dapat?

Penggabungan Celcom dan Digi dijangka memberi manfaat kepada pengguna terutamanya tawaran harga yang lebih kompetitif dan liputan lebih meluas.
Penggabungan Celcom dan Digi dijangka memberi manfaat kepada pengguna terutamanya tawaran harga yang lebih kompetitif dan liputan lebih meluas.
A
A
A

SEJAK awal Mei lalu khabar angin bertiup kencang bahawa landskap industri telekomunikasi Malaysia bakal menempa sejarah baharu.

Dua telco gergasi iaitu Celcom yang terkenal dengan warna biru, manakala Digi menerusi maskot orang kuning bakal membuat penggabungan menjadi satu entiti mega MergedCo.

Dengan perjanjian mengikat Axiata dan Telenor itu dijangka ditandatangani September ini dan penggabungan sepenuhnya siap pada suku ketiga 2020, pelbagai persepsi mula bertebaran terutamanya di media sosial.

Ketika sesetengah pihak melihat secara positif dari sudut ekonomi dan keuntungan kepada pengguna, namun sesetengah pihak lain cuba membangkitkan kebimbangan terhadap penstrukturan itu.

Kerisauan yang sering dibangkitkan termasuklah pemilikan MergedCo yang didakwa bukan lagi entiti berjiwa Malaysia dan pembuangan kakitangan untuk menjimatkan kos.

Namun, bagi pengguna, dua perkara yang lebih menjadi persoalan kerana akan didepani mereka setiap hari serta bulan ialah harga serta kualiti perkhidmatan.

Ramai yang tertanya adakah monopoli pasaran apabila MergedCo menjadi syarikat telco terbesar di Malaysia akan membuatkan harga pakej terutamanya pelan jalur lebar akan meningkat?

Rakyat juga bertanya apakah keuntungan untuk mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung hasil gabungan itu.

Artikel Berkaitan:

Yang pasti, dengan penggabungan itu akan menghasilkan empat syarikat global beribu pejabat di Malaysia termasuk MergedCo (operasi Asia Axiata dan Telenor), MalaysiaCo (Celcom-Digi), TowerCo (gabungan aset menara Asia Axiata dan Telenor) serta Pusat Inovasi Serantau, ia satu khabar gembira awal untuk rakyat Malaysia.

Bahkan MergedCo, MalaysiaCo dan TowerCo disasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia sekali gus menjadi antara yang terbesar di negara ini.

Ini akan memberi manfaat kepada pengguna yang sentiasa mengharapkan kualiti dan teknologi telekomunikasi lebih baik pada harga yang kompetitif.

Teknologi 5G

Perkara itu turut diakui pakar Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, yang mahu penggabungan Celcom-Digi dilihat dari pelbagai sudut bukan untuk dipolitikkan semata-mata.

Katanya, sebagai pengguna penggabungan itu bakal memberi impak terutamanya dari sudut pembangunan ekonomi seterusnya peluang pekerjaan.

“Ia adalah gabungan yang baik kerana Telenor akan membawa teknologinya ke Malaysia selain sumber kewangan dalam melaksanakan teknologi 5G dalam negara.

“Secara asasnya apabila teknologi 5G diperkenalkan di Malaysia, saya jangka ia mungkin akan dilaksanakan dengan lebih cepat berbanding pelan asal dalam lima tahun. Saya rasa dengan Telenor, kita boleh buat dalam dua tahun.

“Ini akan wujudkan industri baharu di Malaysia di mana negara kita akan menjadi pakar dalam menyediakan teknologi 5G untuk pasaran Asia dan juga antarabangsa.

“Sudah pasti ia akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor lain,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Harga lebih kompetitif

Menyentuh mengenai kebimbangan beberapa pihak kononnya harga perkhidmatan telokomunikasi dan internet dijangka lebih mahal atas faktor monopoli, Barjoyai pula melihat sebaliknya.

Katanya, walaupun penggabungan Celcom-Digi akan menjadikan ia telco paling besar di rantau Asia Selatan, namun rakyat Malaysia masih memiliki kuasa memilih telco lain sekiranya harga Celcom-Digi lebih mahal.

Lantaran itu, beliau percaya Celcom-Digi bukan sahaja akan menawarkan pelbagai pakej perkhidmatan pada harga lebih kompetitif, bahkan jangan terkejut jika jauh lebih rendah daripada apa yang ditawarkan pemain telco lain.

“Saya rasa kemungkinannya harga akan menjadi lebih rendah kerana Telenor-Axiata sudah pastinya tidak lihat perancangan gabungan ini untuk jangka masa pendek.

“Mereka mahu membangunkan rantau ini menjadi hub utama telekomunikasi. Telenor akan masuk ke pasaran dan yang risau mungkin pesaing mereka,” jelas beliau.

Penggabungan Axiata-Telenor akan menjadikannya syarikat telco terbesar di rantau Asia Selatan di mana ia menjadikan gabungan ini sebagai pemain telco utama di enam negara, berada tempat kedua di dua negara dan pemain telco ke tiga terbesar di Thailand.
Penggabungan Axiata-Telenor akan menjadikannya syarikat telco terbesar di rantau Asia Selatan di mana ia menjadikan gabungan ini sebagai pemain telco utama di enam negara, berada tempat kedua di dua negara dan pemain telco ke tiga terbesar di Thailand.

Peluang pekerjaan

Tambah Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu, penggabungan dua entiti tersebut bakal mewujudkan konglomerat yang mengawal dua sektor telekomunikasi di seluruh Asia.

“Salah satunya adalah sektor telefon bimbit dengan Axiata-Telenor mempunyai lebih 300 juta pelanggan di seluruh Asia maka gabungan ini akan mewujudkan syarikat perkhidmatan telefon terbesar di Asia.

“Keduanya dari segi menara telekomunikasi, entiti ini juga akan menjadi pemilik terbesar rangkaian menara telekomunikasi di Asia,” katanya.

Bagi seorang lagi penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pembentukan satu konglomerat yang berpusat di Malaysia adalah satu khabar gembira untuk anak-anak muda dalam pelbagai bidang teknologi.

Katanya, ini kerana penggabungan itu akan mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Rangkaian liputan lebih luas

Bagi Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School itu, penstrukturan Celcom-Digi boleh dianggap positif kerana bakal menyumbang kepada ekonomi negara melalui peningkatan pelaburan dan pulangan ke atas pelaburan.

Bahkan, katanya, penggabungan pelaburan itu mampu meningkatkan lagi rangkaian perkhidmatan liputan untuk pengguna di Malaysia yang sebelum ini lebih dijuarai Celcom.

“Gabungan Celcom-Digi berpotensi mewujudkan rangkaian liputan yang lebih luas dan lebih stabil kerana operasi yang lebih besar membolehkan penjimatan kos.

“Dengan empat syarikat global hasil gabungan Axiata-Telenor akan membuka ibu pejabat di Malaysia, ini akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Pemindahan teknologi

Sementara itu, Pengurus Pusat Teknologi Maklumat dan Inovasi Management & Science University, Muhammad Fizmie Zakaria berkata, gabungan itu akan membolehkan berlakunya perpindahan teknologi dan kepakaran antara kedua-dua pihak.

“Dari segi kajian dan pembangunan juga, mereka boleh bantu sesama sendiri. Bila gabung, mereka akan jadi syarikat telekomunikasi terbesar yang akan menguasai pasaran,” katanya.

Tambah beliau, gabungan itu juga membawa kesan positif kepada negara sekali gus kedua-dua entiti tersebut.

“Dari segi dalaman, mungkin akan ada perubahan tapi dari segi luaran, memang bagus sebab dua idea bergabung, dua pemain teknologi yang besar.

“Gabungan juga akan membuka peluang kepada kewujudan Pusat Inovasi terbesar dalam wilayah ini yang merangkumi kajian internet dan teknologi 5G selain menghasilkan pekerja bertaraf antarabangsa,” ujarnya.