Kadar cukai taksiran di Melaka kekal

Kok Kiew
Kok Kiew
A
A
A
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri prihatin dengan bebanan dihadapi rakyat dengan tidak akan menaikkan kadar cukai taksiran ke atas pegangan harta atau cukai pintu pada tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Tey Kok Kiew berkata, langkah itu tidak merugikan kerajaan negeri namun mengakui pendapatan tambahan akan berkurangan.

Menurutnya, kaedah percukaian dibuat berdasarkan formula pengiraan terhadap keluasan bangunan bagi menetapkan cukai taksiran akan dinaikkan sekiranya kerajaan negeri menghadapi kekangan kewangan hingga gagal menampung perbelanjaan.

Malah katanya, kaedah ‘capping’ iaitu mengawal kenaikan kadar taksiran dengan menggunakan kaedah nilai sewaan kepada nilai semasa yang diperkenalkan kerajaan terdahulu telah menyebabkan kenaikan kadar cukai.

“Kaedah digunakan itu di mana kediaman tidak berlaku kenaikan tetapi premis perniagaan di ‘capping’ sebanyak 30 peratus dan akan tamat pada tahun ini, maka pada 2019 kadar cukai sepatutnya akan dinaikkan.

“Tapi kerajaan negeri telah buat keputusan tiada kenaikan cukai dan ini menggembirakan hati rakyat, pada tahun depan,” katanya.

Kok Kiew menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Kuala Linggi) sama ada kerajaan negeri merancang menaikkan kadar cukai pintu di sini, semalam.

Jelasnya sekiranya berlaku kenaikan kelak, ia tidaklah sehingga membebankan rakyat dan akan mengkaji serta meneliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diumumkan.

“Jika kita dah buat penjimatan tapi pendapatan masih tidak dapat nak menampung hutang tanggungan, mungkin cukai akan dinaikkan tapi tidaklah sehingga membebankan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Kok Kiew menjawab soalan bertulis Rahmad Mariman (BN-Ayer Molek) sama ada cukai pintu diturunkan kembali setelah Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) pernah membuat saman bantahan kenaikan cukai yang sama kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pada 2016.

“MPHTJ telah dapat penangguhan keputusan Mahkamah Rayuan dan cukai taksiran baru itu diteruskan sehingga ada keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya.