Pelepah sawit ancam keselamatan

Shabudin menunjukkan pelepah sawit yang menghalang pemandangan yang terletak berhampiran selekoh kampung berkenaan.
Shabudin menunjukkan pelepah sawit yang menghalang pemandangan yang terletak berhampiran selekoh kampung berkenaan.
A
A
A

BAGAN TERAP - Penduduk menggesa pihak berwajib menebang pelepah kelapa sawit yang menghalang pemandangan kenderaan di Jalan Sungai Panjang-Bagan Terap di sini.

Seorang penduduk, Shabudin Yusof, 53, berkata, lebih membahayakan pelepah itu terletak berhampiran selekoh menghala ke Kampung Tok Khalifah.

"Pemandu kenderaan berdepan risiko keselamatan setiap kali ingin keluar daripada selekoh ke jalan besar akibat pemandangan terhalang," katanya.

Shabudin memberitahu, pelepah itu turut membahayakan pemandu bas dan lori yang menggunakan laluan itu dari arah Sabak Bernam menghala ke Sungai Panjang.

"Saya dimaklumkan pemandu bas mengadu cermin depan bas retak apabila melanggar pelepah sawit ini.

"Keadaan ini jika dibiarkan mengundang bahaya kepada pemandu kenderaan terbabit dan terpaksa menanggung kos kerugian sekiranya cermin depan bas pecah," katanya.

Penduduk, Mokhtar Sulaiman, 55, berkata, penduduk tidak mahu sesuatu tidak diingini berlaku di jalan berkenaan.

"Bayangkanlah jika bas atau lori tiba-tiba terpaksa membrek kecemasan akibat pelepah sawit yang tidak ditebang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aduan itu pernah diadukan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan susulan bagi menanganinya.

"Aduan dah dibuat setahun lalu tapi masih tiada jalan penyelesaian. Kita berharap perkara ini diatasi segera," katanya.