Jangan bersedih bila ditimpa musibah

A
A
A

SUDAH menjadi fitrah manusia tidak dapat lari daripada penyakit. Cuma jenis dan tahap keseriusan dan kekerapannya yang berbeza bagi setiap insan.

Jika kita mengamalkan gaya hidup yang sihat, lazimnya kita lebih terlindung daripada ditimpa penyakit. Jika sebaliknya, kita akan lebih terdedah kepada penyakit.

Bila sakit menimpa kita, kewajaran kita sebagai orang Islam perlu ingat bahawa: “Dan apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku.” (QS asy-Syu’araa’: 80).

Ertinya, jika kita ditimpa suatu penyakit maka tidak ada satupun yang mampu menyembuhkan kita selain ALLAH dengan sebab-sebab yang ditetapkan-Nya membawa kesembuhan bagi kita. (Tafsir Ibnu Katsir 3/450)

Mengikut doa Rasulullah SAW: “Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan (dari)-Mu” (Fiqhul asma-il husna hal 287). Begitu juga dengan setiap musibah lain yang menimpa diri kita. ALLAH SWT jua Maha Penyelesai kepadanya.

Tidak semua orang dapat menerima hakikat bila mereka ditimpa sakit. Sewajarnya kita perlu bersyukur jika ditimpa sakit. Sakit kita sudah sedia tercatat di dalam Luh Mahfuz.

Saat kita sakit, Tuhan mengambil kekuatan tenaga kita, rasa lazat di lidah, cahaya di wajah dan terakhir dosa. Saat kita disembuhkan, kesihatan dikembalikan kepada kita kecuali dosa. Betapa nikmatnya. Doa semasa kita sakit pun menjadi doa yang sering Tuhan kabulkan. Betapa nikmatnya, jadi kita syukuri saja. Tak perlu kita keluhkan.

Begitu juga bila kita ditimpa musibah lain. Bersabar dan berusaha saja untuk mengatasinya. Lepas itu bertawakal kepada-Nya.

Artikel Berkaitan:

Penyakit hati dikait rapat dengan perasaan hasad dengki, buruk sangka, fitnah memfitnah, benci dan dendam, sombong dan takbur serta benci kepada kebenaran dan kemakrufan dan sebagainya.

Penyakit hati harus segera diubati kerana ia boleh membawa kebinasaan abadi. Penyakit hati seringkali tidak disedari, tidak terlihat dan tidak terasa, sehingga yang mengidapnya tidak merasa wajib melakukan apa-apa.

Penyakit fizikal pula mencakupi berbagai penyakit yang terlihat, yang terasa oleh badan dan yang boleh dikesan melalui diagnosis rawatan moden. Biasanya ia berpunca daripada virus, bakteria, gaya hidup yang kurang sihat dan sebagainya.

Jika kita ditimpa sakit, maka berubatlah. Jika kita dilanda musibah, berusahalah menyelesaikanya. ALLAH tidak kata kita perlu putus asa atau berserah saja kepada takdir. Kita diwajibkan untuk berikhtiar dan berusaha.

Rasulullah SAW pun wafat dalam keadaan sakit. Itu salah satu pelajaran daripada ALLAH. Jadi jangan takut. Mahu sembuh, mahu terus sakit, bukan urusan kita. Yang penting ikhtiar, berubat. Kita berikhtiar dan berusaha, kemudian berserah dan bertawakal kepada ALLAH.

Dan sesungguhnya hanya ALLAH yang mampu menyembuhkan. Doktor, pakar, tok guru, ustaz dan siapapun hanya menjadi perantaraan-Nya.

Kunci kesembuhan

Pelbagai ayat al-Quran menyatakan bahawa al-Quran adalah ubat. Hadis Rasulullah SAW pun menegaskan hal yang sama. Oleh kerana itu, rajin-rajinlah membaca al-Quran.

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (QS Yunus 10:57)

Kunci segala kesembuhan kepada penyakit dan juga apa-apa musibah yang menimpa kita adalah keimanan. Iman yang kuat bahawa ALLAH adalah sumber

segala kekuatan dan kesembuhan. Sesungguhnya Dia memberikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman. Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.

Maka bertaubatlah, berdoa dan mohonlah ampunan-Nya setiap saat kerana setiap saat pula kita ada kemungkinan berbuat dosa, sama ada kita sedar atau tidak.

Kalau doa belum dikabulkan, bukan bererti ALLAH meninggalkan kita. Hanya ALLAH lebih tahu bila masa terbaik untuk mengabulkan doa kita.

Mungkin kalau cepat dikabulkan, kita akan cepat lupa kepada-Nya dan melakukan hal-hal yang menjauhkan kita daripada-Nya.

“Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu." (QS Al Baqarah 2:86)

Jadikan al-Quran sebagai ubat dan penawar kepada penyakit dan penyelesaian kepada segala musibah.