Makanan berzat, suntikan vaksin untuk orang asli Kuala Koh

Waytha Moorthy
Waytha Moorthy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk kampung orang asli suku Batek di Kuala Koh turut menerima makanan berzat selain suntikan vaksin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Katanya, bantuan itu disampaikan secara berperingkat, dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan turut memantau keadaan kesihatan mereka.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 24 orang masih dirawat di wad biasa Hospital Gua Musang manakala 17 orang di wad biasa dan dua lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai berikutan mengalami gejala jangkitan pernafasan.

Sementara itu, katanya seramai tiga pesakit Orang Asli dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Hulu Terengganu (HHT), Kuala Berang hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang masih menerima rawatan di hospital itu hanya tinggal lima orang sahaja.

"Sebelum ini, 10 daripada 18 pesakit Orang Asli yang dimasukkan ke hospital itu akibat disyaki dijangkiti saluran penafasan sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli 2018 di sini, hari ini.

Terdahulu, Waytha menyampaikan anugerah kepada 332 murid cemerlang Orang Asli seluruh negara dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk tahun 2017 dan 2018. Dalam ucapannya, Waytha berkata, pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang berusaha mengurangkan kadar keciciran pembelajaran dalam komuniti itu dengan memberi motivasi dan kaunseling kepada mereka.

"Walaupun kadar keciciran pembelajaran telah menurun iaitu daripada 20 peratus pada tahun 2015 sehingga 17 peratus sahaja pada tahun lepas, kami masih lagi mahu mengurangkan kadar itu bagi memastikan mereka dapat bersekolah.

"Kebanyakan mereka tercicir selepas tamat sekolah rendah, jadi kami mahu mereka mempunyai kesedaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya dapat berdaya saing di masa hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan bantuan sebanyak RM17.5 juta untuk menampung kos pengangkutan, bantuan persekolahan dan wang saku tahun ini bagi memastikan pelajar Orang Asli mendapat pendidikan sempurna. - Bernama