AIM serah dokumen kepada SPRM

A
A

PUTRAJAYA - Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting bersama pengurusan kanan telah menyerahkan maklumat dan dokumen berkaitan anak syarikatnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Katanya, pihak pengurusan baharu komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana badan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu memperbetulkan persepsi awam berkaitan laporan media dan pihak tiada kaitan dengan AIM yang tidak mempunyai sumber maklumat tepat berkenaan isu yang diketengahkan.

"Sehubungan itu, pihak kami yakin SPRM dapat mengkaji dan membuat semakan telus terhadap dokumen dan maklumat yang telah diserahkan untuk kepentingan semua pihak terutama sahabat serta kakitangan AIM.

"Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan pengurusan yang baharu sedang serta akan mengambil tindakan berlandaskan Suratcara Ikatan Amanah AIM bagi memastikan badan ini terus kekal dalam landasan betul bagi memperkasakan ekonomi golongan B40. Kami juga akan memastikan urus tadbir AIM dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti, selaras dengan corak kepimpinan Kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Junaidah tampil menjelaskan laporan media berhubung kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin bahawa kerajaan akan menutup AIM.

Jelasnya, apa yang ditegaskan Mohamed Hanipa dalam persidangan Dewan Rakyat itu adalah berkaitan penubuhan anak-anak syarikat AIM sahaja dan bukannya penutupan operasi secara keseluruhan.

Katanya lagi, pihaknya memandang serius bahawa kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah khususnya dalam penubuhan anak-anak syarikat.