APMM tahan 59 bot nelayan asing, tempatan

APMM
APMM
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 59 bot nelayan asing dan tempatan menerusi Ops Pagar Laut 2019, yang dijalankan pada bulan Ramadan dan Syawal bermula 20 Mei hingga 14 Jun lepas.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, bot-bot terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk menceroboh kawasan perairan Malaysia bagi nelayan asing dan melanggar zon-zon kawasan menangkap ikan bagi nelayan tempatan.

Sepanjang tempoh itu juga APMM telah melaksanakan sebanyak 6,892 pemeriksaan di sepanjang perairan negara, katanya.

"Ini menunjukkan komitmen yang tidak ada tolak ansur, dalam memastikan perairan negara terus terpelihara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri ibu pejabat APMM, di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, antara cabaran dihadapi APMM sepanjang melaksanakan operasi itu datang dari kapal penguatkuasa Indonesia yang menceroboh kawasan perairan negara dan kebanjiran bot-bot nelayan Vietnam.

Pada Jumaat lepas, bot nelayan tempatan didakwa dirempuh sebelum ditahan kapal Pengawas Perikanan Indonesia di kedudukan 37.4 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Lumut, iaitu tujuh batu nautika dari garisan sempadan kedua-dua negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: