Jangan gopoh tempoh peralihan kuasa

Tun Dr Mahathir dan Anwar
A
A

SEMALAM Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam masa tiga tahun sebelum menyerahkan tugas kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ditemubual wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, Dr Mahathir berkata, beliau memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menyelesaikan hutang negara dan tidak berhasrat meneruskan perkhidmatan sebelum sasaran berkenaan tercapai.

Persoalan mengenai tarikh beliau akan berundur dan siapa bakal penggantinya mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Kenyataan terbaharu itu sekaligus menimbulkan polemik kerana ada yang beranggapan beliau masih ragu-ragu untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar.

Ini kerana ketika mula-mula dipilih sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum lalu, beliau mahu diberi masa selama dua tahun untuk memegang jawatan tersebut.

Kata beliau, tempoh itu memadai untuk beliau menyelesaikan masalah ekonomi dan memulihkan negara, selain usianya ketika mengangkat sumpah jawatan sudah menjangkau 93 tahun.

Selepas beberapa bulan sebagai Perdana Menteri, beliau berkata tempohnya memegang jawatan, “mungkin dua tahun, mungkin kurang dan mungkin lebih daripada dua tahun.”

Itu adalah kata-katanya yang mula berubah nada buat kali pertama, sehingga menyebabkan ramai yang gelisah dan tidak senang duduk.

Sebelum ini pun sudah beberapa kali beliau menyatakan komitmennya untuk melaksanakan peralihan kuasa. Dr Mahathir berkata, setakat yang beliau tahu, beliau sudah berjanji untuk berundur dan Anwar akan menggantikannya.

Pada sesi program ‘The Future of Malaysia and Asean’ pada Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok minggu lalu, Dr Mahathir telah menjelaskan beliau tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Rakyat harus berdiri teguh dan memberi ruang secukupnya kepada beliau untuk melaksanakan agenda pembangunan dan pembaharuan negara sebelum peralihan kuasa berlaku.

Beliau memerlukan masa yang mencukupi untuk memastikan sekurang-kurang kesemua janji Pakatan Harapannya dapat ditunaikan dengan baik.