[DIKEMASKINI] Tak cukup duit majlis sanding, juruteknik buat laporan palsu

Nik Ros Azhan
Nik Ros Azhan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tertekan dengan permintaan keluarga isterinya, seorang juruteknik sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berusia 45 tahun itu membuat laporan palsu kononnya dia disamun oleh dua lelaki di hadapan sebuah kilang percetakan di Taman Nagasari pada jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Menurutnya, lelaki yang berasal Kampung Siam Kebun Sireh di sini itu mendakwa beg silangnya telah diragut dan dipotong talinya oleh salah seorang lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ.

"Dia mendakwa ketika tiba di hadapan kilang tersebut, kedua-dua lelaki tersebut tiba-tiba datang dan salah seorang daripada mereka telah menarik beg silangnya dan seorang lagi memotong tali begnya menggunakan pisau walaupun mangsa cuba menghalangnya.

"Dia turut mendakwa mengalami luka di lengan kiri dan hilang beberapa dokumen penting seperti MyKad, kad ATM dan lesen memandu. Dia juga mendakwa kehilangan wang tunai berjumlah RM10,000 akibat daripada kejadian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, susulan daripada itu, polis menjalankan siasatan di tempat kejadian namun mendapati tiada kejadian berlaku seperti yang didakwa.

"Setelah menjalankan siasatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kilang tersebut, kita mendapati tiada kejadian samun berlaku selain keterangan lelaki itu juga mencurigakan.

"Lelaki itu kemudiannya mengakui dia membuat laporan palsu itu kerana mengalami kesempitan wang dan mahu menangguhkan majlis perkahwinannya. Dia telah bernikah pada 15 Jun lalu dan majlis persandingan dijadualkan pada 25 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

"Menurutnya lagi, keluarga pihak perempuan telah meminta wang untuk persiapan majlis perkahwinan membuatkan dia berasa tertekan. Disebabkan itu, dia telah membuat laporan polis palsu mengatakan wang untuk majlis perkahwinannya telah disamun," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semakan mendapati, lelaki tersebut pernah membuat laporan palsu yang sama pada 2010.

"Sembilan tahun lalu, dia pernah membuat laporan palsu dengan jalan cerita yang sama iaitu disamun dua lelaki menaiki motosikal. Dia juga mendakwa suspek telah memotong tali beg galasnya lalu terus melarikan diri selain dirinya mengalami calar di lengannya.

"Kes ini telah selesai dan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu," katanya.