Veteran tentera tuntut janji PH naik kadar elaun bulanan

(kiri) Abdul Latiff mengiringi June Leow menyantuni veteran tentera yang diraikan pada majlis tersebut di Jalan Anggerik, Bukit Sentosa.
(kiri) Abdul Latiff mengiringi June Leow menyantuni veteran tentera yang diraikan pada majlis tersebut di Jalan Anggerik, Bukit Sentosa.
A
A
A

BUKIT SENTOSA - Kelab Veteran Angkatan Tentera (KVTAM) Bukit Sentosa/Bukit Beruntung menuntut janji kerajaan Pakatan Harapan untuk menaikkan kadar elaun bulanan kepada bekas askar yang mengalami kecacatan kekal ketika berkhidmat.

Pengerusinya, Abdul Latiff Abdullah berkata, tuntutan tersebut dilakukan bersama semua persatuan dan KVATM di seluruh negara yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Menurutnya, veteran orang kurang upaya (VOKU) terpaksa diberhentikan perkhidmatan akibat kecacatan kekal atau masalah kesihatan dengan menerima elaun bawah RM500 sebulan.

"Elaun ini sudah lama tidak dinaikkan dan sebelum PRU14 lalu, Pakatan Harapan sudah berjanji untuk menaikkan kadar elaun sekiranya mentadbir negara.

"Veteran tentera memberi sokongan penuh dan turut membantu memenangkan Pakatan Harapan, maka kami menuntut janji tersebut.

"Saya yakin kerajaan akan mengotakan janji mereka kerana kadar elaun ini terlalu rendah berbanding kos sara hidup pada masa sekarang," katanya pada majlis sambutan hari raya Aidilfitri anjuran kelab veteran.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui yang turut menyampaikan sumbangan kepada 21 VOKU.

Abdul Latiff berkata, perjuangan veteran tentera mengorbankan diri sendiri itu wajar mendapat pembelaan dengan kadar elaun setimpal dengan jasa mereka memperjuangkan kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, KVATM Bukit Sentosa/Bukit Beruntung ditubuhkan sejak 2016 dengan 561 keahlian bagi mengumpulkan veteran tentera di kawasan berkenaan.

"Kebajikan veteran tentera menjadi keutamaan JHEV bagi membela nasib kami termasuk usaha mempertingkatkan sumber ekonomi," katanya.