Kerajaan Pusat perlu ambil alih kes pencemaran di Pasir Gudang

Laporan Sinar Harian Khamis lalu.
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendesak Kerajaan Persekutuan untuk segera mengambil alih operasi pemantauan pencemaran udara yang kian berterusan di daerah itu.

Menurutnya, pencemaran udara didakwa akibat kebocoran gas berlaku di Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu dilihat serius dan perlu mengadakan langkah pencegahan segera.

“Sekolah-sekolah dalam kawasan tercemar perlu ditutup sehingga keadaan kembali selamat. Saya juga berharap kerajaan pusat segera ambil alih dan menangani isu pencemaran udara yang berpunca dari kebocoran gas.

“Kerahkan semua pasukan pakar dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan lain-lain agensi serta universiti supaya membuat analisis dan pemantauan rapi kualiti udara dan mencari punca sebenar pencemaran gas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan berkata, pihaknya juga berharap supaya tiada usaha menutup maklumat dari pihak-pihak berkuasa untuk cuba melindungi kilang atau syarikat yang melanggar undang-undang kualiti alam sekitar.

“Saya tidak mahu mendengar janji manis daripada pemimpin kerajaan negeri dan agensi berkuasa memberi jawapan kosong kononnya keadaan terkawal dan selamat. Yang nyata keadaan sebenar tidak terkawal dan tidak selamat.

“Saya selaku Ahli Parlimen juga minta kerajaan negeri memantau dengan serius kes bencana pencemaran gas ini yang mungkin lebih teruk dari kes pencemaran di Sungai Kim Kim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan untuk mengeluarkan perintah supaya semua kilang kimia yang mengeluarkan gas supaya berhenti beroperasi sehingga keadaan pencemaran tidak berlaku dan kualiti udara terjamin.