MB nasihatkan bakal haji supaya jaga disiplin, nama baik negara

Jemaah haji dari Malaysia adalah antara yang berdisiplin dan patuh kepada syarat serta peraturan yang telah ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Jemaah haji dari Malaysia adalah antara yang berdisiplin dan patuh kepada syarat serta peraturan yang telah ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi.
A
A
A

NILAI - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihatkan bakal jemaah haji dari negeri ini agar mengekalkan disiplin serta menjaga nama baik negeri dan negara ketika berada di Tanah Suci.

Katanya, jemaah haji dari Malaysia adalah antara yang berdisiplin dan patuh kepada syarat serta peraturan yang telah ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi.

"Dalam masa sama jaga juga kesihatan supaya urusan ibadat haji berjalan lancar, ikut tertibnya dan dipermudahkan di sana nanti.

"Tumpukan perhatian kepada ibadat di Tanah Suci kerana peluang untuk mengerjakan haji diperoleh sekali dalam seumur hidup," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji 1440 Hijrah/2019 Peringkat Negeri Sembilan di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf Tabung Haji, Hizamuddin Jamaluddin dan Pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan, Khairoddin Ahmad.

Dianggarkan lebih 1,000 bakal jemaah haji dari Negeri Sembilan terlibat dalam kursus selama dua hari yang bermula 22 Jun hingga 23 Jun 2019 itu.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengakui bahawa Tabung Haji sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.

"Saban tahun perkhidmatan dan prasarana yang disediakan bertaraf dunia serta menjadi model ikutan negara Islam lain serta diiktiraf sebagai yang terbaik berbanding negara lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus bersyukur dengan adanya sebuah badan seperti Tabung Haji yang menjaga kemaslahatan jemaah haji negara. Sekiranya ada sebarang kekurangan, berbincanglah dengan pegawai-pegawai Tabung Haji secara baik," katanya.

Aminuddin menyampaikan kelengkapan haji kepada seorang bakal haji pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji 1440 Hijrah/2019 Peringkat Negeri Sembilan di Nilai semalam.