Pusat hemodialisis perlu sumbangan RM600,000

Mohd Nizam(dua dari kiri) membawa Sham(tiga dari kiri) meninjau kemudahan alat hemodialisis disediakan Pusat Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nur Kasih, Bagan Serai hari ini.
Mohd Nizam(dua dari kiri) membawa Sham(tiga dari kiri) meninjau kemudahan alat hemodialisis disediakan Pusat Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nur Kasih, Bagan Serai hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pusat Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nur Kasih, di sini merayu sumbangan orang ramai sebanyak RM600,000 bagi membiayai keperluan pembelian tambahan mesin hemodialisis dan alat sokongan perubatan kepada pesakit dialisis kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nizam Abdullah berkata, sumbangan dana itu penting bagi membolehkan pembelian sepuluh mesin hemodialisis, dua set penapis air dan beberapa alatan sokongan perubatan untuk digunakan pesakit yang menggunakan perkhidmatan pusatnya.

Menurutnya, daripada keseluruhan 79 pesakit dialisis didaftarkan, 70 peratus daripadanya terdiri golongan kurang berkemampuan dan terpaksa mengharapkan ihsan bantuan orang ramai untuk menjalani rawatan di tempatnya.

"Mana-mana syarikat korporat atau individu menyumbang derma kepada pusat hemodialisis kami akan pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN).

"Jadi kami berharap peluang ini digunakan sebaiknya oleh para dermawan dan pihak prihatin untuk menyumbang derma walaupun RM1 kepada pihak kami demi meringankan beban kos rawatan ditanggung pesakit dialisis kurang berkemampuan," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nur Kasih di sini hari ini.

Turut hadir Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Mohd Nizam berkata, pihaknya turut menyasarkan sekurang-kurangnya 150 pesakit dialisis akan menggunakan pusat hemodialisis diusahakan pihaknya sepanjang tahun ini.

Menurutnya, kos rawatan dialisis bagi setiap pesakit boleh mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan ianya pasti memberi beban kewangan besar kepada pesakit luar bandar yang rata-rata bekerja kampung.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan kami menyediakan pusat hemodialisis ini untuk membantu pesakit yang tidak berkemampuan di kawasan luar bandar menerima rawatan dengan kos minimum.

"Selain itu, kita juga akan membantu pesakit menerima bantuan subsidi daripada kerajaan bergantung kepada kelayakan pesakit tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Justeru kami mengharapkan sokongan semua pihak bagi sama-sama menyumbangkan sedikit dana walau RM1 bagi meringankan beban kewangan ditanggung setiap pesakit dialisis," katanya.

Mana-mana syarikat korporat atau individu prihatin yang ingin menyalurkan sumbangan boleh terus menderma di Akaun Maybank 558051347113 atas nama Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nor Kasih Larut Matang dan Selama Perak.