Gagal bawa masuk gelatin haiwan bernilai lebih RM600,000

Maqis Selangor merampas gelatin bernilai lebih RM600,000 di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.
Maqis Selangor merampas gelatin bernilai lebih RM600,000 di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menggagalkan cubaan membawa masuk gelatin haiwan bernilai lebih RM600,000 dari Pakistan di Pelabuhan Klang Utara, di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, gelatin seberat 18,000 kilogram yang dianggarkan bernilai RM635,383.33 itu tidak mengikut syarat rawatan yang ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam import permit.

"Perbuatan mengimport dagangan tidak mematuhi syarat permit dikeluarkan oleh Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (2), akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, pihak bertanggungjawab dengan barangan dagangan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Sobri berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian diimport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan barang dagangan adalah bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan dan seterusnya menjamin keselamatan makanan.