Sarawak sangkal dakwaan bankrap

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak mencatatkan bajet lebihan dalam tempoh beberapa tahun, termasuk RM110.1 juta bagi tahun lepas berbanding hasil sebanyak RM7.2 bilion dan perbelanjaan biasa sebanyak RM7.09 bilion.

Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak dalam kenyataan di sini hari ini berkata, bajet lebihan yang berterusan berkenaan telah membolehkan kerajaan negeri meningkatkan rizabnya.

"Oleh itu, kenyataan Menteri Kewangan Persekutuan bahawa Sarawak akan bankrap jika ia terus diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak benar-benar tidak tepat dan mengelirukan serta bermotifkan politik," katanya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Audit Negara telah memberikan laporan lengkap bagi Sarawak untuk tempoh 17 tahun berturut-turut dan agensi penarafan antarabangsa, iaitu Moody's dan Standard and Poor's masing-masing juga mengesahkan penarafan kredit pelaburan negeri adalah baik iaitu pada A3 dan A.

Kementerian itu juga berkata kerajaan negeri akan terus mengukuhkan pengurusan kewangannya di bawah amalan kerajaan yang baik, disiplin kewangan yang ketat dan berhemat sepanjang masa.

Pada 2014, Sarawak mencatatkan lebihan sebanyak RM3.05 bilion, pada 2015 sebanyak RM966.1 juta dan bagi 2016 angka yang dicatatkan sebanyak RM346.2 juta, manakala bagi tahun 2017 angka yang direkodkan sebanyak RM1.05 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah berkata pada majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di sini pada Jumaat malam bahawa Sarawak mungkin akan bankrap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata rizab negeri sebanyak RM30 bilion akan kehabisan dalam tempoh tiga tahun berdasarkan bajet tahunannya sebanyak RM11 bilion.

Artikel Berkaitan:

Lim berkata Sarawak akan mengalami nasib yang sama seperti Kelantan, yang beliau dakwa tidak mampu membayar gaji kakitangan awam mereka kerana pentadbiran yang lemah. - Bernama