Tiada sebab, rancangan persempadanan semula

Khalid beramah mesra bersama jemputan yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Shah Alam di Stadium Shah Alam hari ini.
Khalid beramah mesra bersama jemputan yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Shah Alam di Stadium Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan PH tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan persempadanan semula kawasan demi kepentingan DAP.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, perkara dibangkitkan di dalam Kabinet adalah melibatkan masalah pindaan persempadanan semula dilakukan kerajaan terdahulu yang secara jelas kelihatan mempunyai agenda tertentu.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meminda perlembagaan memandangkan PH berjaya memenangi PRU14 lalu dengan menggunakan persempadanan yang diubah sebelum ini.

"Ini semua cerita dongeng yang tak pernah kita dengar dan bincangkan. PH tidak akan buat (pindaan perlembagaan). Kalau ada pun, kita akan buat dengan adil seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Jika ada laluan diberikan dalam peraturan yang membenarkan kita memperbetulkan tindakan mereka (kerajaan terdahulu) sebelum ini, maka kita boleh pertimbangkan," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Shah Alam di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat usaha untuk meminda perlembagaan bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk menambah kerusi DAP di Parlimen.

Presiden Umno yang sedang bercuti itu mendakwa pelaksanaan tersebut bertujuan menambah kerusi Parlimen di kawasan bandar.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) memaklumkan bahawa PH sememangnya tidak mempunyai perancangan tersebut terutama demi kepentingan DAP.

Artikel Berkaitan:

"Mengapa pula kita nak bagi kepada DAP? Bukan mereka sahaja ada dalam PH. Mesti kita nak bagi untuk kepentingan semua parti komponen. Ini semua cerita merapu. Bila mereka tak ada isu, maka perkara ini dibangkitkan," katanya.