Tak wajar tutup sekolah dua hari

Notis penutupan ditampal di pintu pagar SA Taman Mawar.
Notis penutupan ditampal di pintu pagar SA Taman Mawar.
A
A
A

PASIR GUDANG - Keputusan kerajaan negeri menutup lima sekolah sekitar Taman Mawar susulan insiden murid dua buah sekolah dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat pencemaran udara dianggap tidak wajar.

Menurut salah seorang peniaga kedai makan yang terletak bersebelahan Sekolah Agama (SA) Taman Mawar, keadaan kelihatan sudah pulih selepas hujan lebat turun sejak Khamis lalu.

Normah Ahmad
Normah Ahmad

Normah Ahmad, 62, berkata maklumat penutupan sekolah itu juga tidak sampai ke semua pihak susulan terdapat sebuah van sekolah yang menghantar murid sekitar jam 7 pagi tadi.

"Pada saya tak wajar pun tutup sekolah ini sebab dah tak ada apa-apa lagi. Hujan lebat masa hari kejadian dengan semalam. Rasanya dah ok.

"Sepatutnya buka saja sekolah seperti biasa. Tadi pun ada sebuah van sekolah sampai pukul 7 pagi nak hantar pelajar tapi lepas dimaklumkan pemandu patah balik. Ramai budak dalam van, mungkin ibu bapa, pemandu tak dapat info," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kebayan, Taman Mawar hari ini.

Semalam kerajaan negeri mengarahkan lima sekolah dan Tadika di sekitar Taman Mawar ditutup selama dua hari bermula hari ini bagi membolehkan proses pemantauan kualiti udara di kawasan itu selesai dilakukan.

Sekolah yang ditutup ialah SA Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, Tadika Pasti dan Tadika Pintar Bistari bermula 23 Jun sehingga 24 Jun 2019.

Artikel Berkaitan:

Kosong...SK Pasir Gudang 4 yang ditutup susulan insiden Khamis lalu berikutan kes pencemaran udara.
Kosong...SK Pasir Gudang 4 yang ditutup susulan insiden Khamis lalu berikutan kes pencemaran udara.

Khamis lalu, 15 murid SA Taman Mawar, SK Pasir Gudang 4 dan dua wanita dewasa dikejarkan ke HSI selepas mengalami simptom muntah, loya dan pita dipercayai akibat pencemaran udara.

Mengimbau kejadian Khamis lalu, Normah bersama pekerjanya ada menghidu bau aneh tetapi mereka menyangka bau itu datang daripada longgokan sampah di tepi jalan.

"Memang ada bau, tak tahu nak jelaskan bau itu macam mana tapi saya tak tahu pulak bau tu bahaya.

"Ingat bau sampah sebab bahagian depan kedai di tepi jalan memang ada longgokan sampah. Masa itu kami sedang siap-siap nak tutup kedai dah," katanya yang akui tidak menerima sebarang notis menutup kedai susulan kejadian pencemaran udara itu.


Isa Mohamed
Isa Mohamed

Sementara penduduk dari Taman Mawar Fasa 5, Isa Mohamed, 68 menyifatkan keputusan menutup sekolah itu wajar dan perlu demi keselamatan murid-murid yang masih kecil

"Saya setuju tutup sebab takut budak-budak terima akibat lagi macam Khamis lepas sebab ramai budak-budak kecik.

"Syukur cucu saya berumur 9 tahun yang masa itu di sekolah agama tak apa-apa. Sampai rumah cucu terus dimandikan. Cucu ada cerita kawan-kawan dia muntah, pengsan," katanya.

Akui risau perkara sama berulang, Isa mahu sekolah ditutup sehingga keadaan benar-benar selamat.

"Lusa saya tengok keadaan dulu, kalau sekolah dibuka semula saya akan hantar cucu ke sekolah tapi tunggu dulu sekejaplah.

"Risau juga kalau jadi lagi. Dulu kena tempias kes Sungai Kim Kim pun kami lari ke Batu Pahat seminggu," katanya.