PNB isytihar agihan pendapatan 7 sen ASB, 3.25 sen ASN

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Foto: Bernama
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengisytiharkan agihan pendapatan 6.5 sen seunit dan bonus 0.5 sen bagi Amanah Saham Bumiputera ( ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2018.

Bagi tahun kewangan 2017, ASB membuat pembayaran agihan 7.25 sen seunit terdiri daripada dividen tujuh sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata ini mewakili pembayaran tujuh sen seunit melibatkan jumlah pembayaran kira-kira RM10.7 bilion yang akan memberi manfaat kepada 9.6 juta pemegang unit yang memiliki 155 bilion unit dalam ASB.

Zeti juga mengumumkan agihan pendapatan bagi dana harga pembolehubah ASNB, Amanah Saham Nasional ( ASN) sebanyak 3.25 sen seunit bagi tahun kewangan 2018, mewakili hasil dividen 5.1 peratus berdasarkan kepada nilai aset bersih dana itu setakat 20 Dis tahun ini.

Jumlah pembayaran bagi ASN ialah kira-kira RM59.7 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pemegang unit yang memegang lebih 1.8 bilion unit dalam dana itu.

“2018 sudah pastinya adalah tahun yang mencabar bagi pasaran kewangan global dan tempatan, menerima kesan daripada normalisasi seterusnya dasar monetari Amerika Syarikat dan aliran keluar dana daripada pasaran sedang pesat membangun serta peningkatan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan antarabangsa,” katanya dalam ucapan beliau semasa pengumuman agihan pendapatan bagi dana-dana itu di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga 20 Disember tahun ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI telah turun 8.1 peratus setakat ini, menjadikan ia empat daripada lima tahun indeks mencatatkan pulangan harga negatif, dalam persekitaran di mana semua pasaran ekuiti global turut mencatatkan penurunan yang sama.

Meskipun persekitaran pasaran yang mencabar dan membangun di atas asas yang kukuh, PNB kekal berdaya tahan dan mengekalkan prestasi kewangannya tahun ini dengan aset di bawah pengurusan meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM295.2 bilion, manakala pendapatan bersih proforma PNB dan dana saham amanahnya berjumlah RM15.3 bilion bagi tempoh itu sehingga 30 Nov, 2018, katanya.

Artikel Berkaitan:

Zeti berkata PNB juga terus menyokong keyakinan pelabur dengan menyediakan pulangan kompetitif bagi pemegang unit dengan jumlah pembayaran RM15.1 bilion dalam semua dana pada 2018.

Mengenai ekuiti awam, beliau berkata, PNB terus melaksanakan rancangan penjanaan nilai operasi dengan syarikat strategiknya dan syarikat terasnya untuk meningkatkan prestasi, menyokong permodalan semula MNRB Holdings Bhd dan Sapura Energy Bhd.

Beliau berkata ASNB juga melaksanakan inisiatif baharu untuk memberikan lagi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan termasuk menyelaraskan dan mengembangkan tawaran produk.

Ia termasuk mengembangkan capaian pemegang unit menerusi portal myASNB yang dipertingkatkan, yang kini telahpun mempunyai satu juta pengguna berdaftar serta penjenamaan semula dan penyusunan semula dana sedia ada.

Pada masa hadapan, Zeti berkata PNB merancang melaksanakan Kajian Separuh Penggal Pelan Strategiknya dengan menumpukan kepada bahagian peruntukan aset strategik, pengurusan risiko perusahaan dan transformasi organisasi serta mempercepatkan pempelbagaian portfolio pelaburannya menjadi aset pulangan tinggi.

“PNB terus kekal teguh dan berdaya tahan dalam mengemudi persekitaran makro yang mencabar dan meneruskan usaha transformasinya untuk terus menyediakan pulangan mampan kepada pemegang unit kami.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diletakkan oleh pemegang unit terhadap kami dalam empat dekad ini dan kami akan terus mendukung kepercayaan ini ketika kami terus menyampaikan mandat kami,” katanya.

Semua urus niaga bagi ASB dan ASN di semua cawangan dan ejen ASNB digantung sementara bermula hari ini sehingga 1 Jan, 2019 bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan.

Pemegang unit akan dapat menyemak dan mengemas kini akaun mereka menerusi portal ASNB, myasnb.com.my atau di mana-mana cawangan atau ejen apabila urus niaga disambung semula pada 2 Jan, 2019.- Bernama