ASB 3 Didik umum agihan pendapatan 5 sen seunit

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Jumaat mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM368.15 juta yang bersamaan 5 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik).

PNB berkata, pengagihan pendapatan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan membabitkan seramai 312,476 pemegang unit yang kini memiliki 7.36 bilion unit.

"Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.76 peratus sebanyak 224 mata asas

"Sehingga 26 Jun 2023, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM346.41 juta," katanya menerusi kenyataan.

PNB menjelaskan, pendapatan dana tersebut diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, ekuiti domestik dan antarabangsa merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan masing-masing iaitu sebanyak 41.46 peratus dan 29.75 peratus daripada keseluruhan portfolio.

"Prestasi dan keupayaan dana untuk menjana pendapatan adalah hasil strategi pelaburan yang berkesan, kepelbagaian portfolio, dan pemantauan berwaspada terhadap arah aliran pasaran dan keadaan ekonomi.

"Dengan menguruskan risiko dan memastikan pulangan yang mampan, dana ini telah dapat menyediakan pertumbuhan jangka panjang untuk pemegang unitnya. Pemantauan prestasi berkala, ditambah dengan pengurusan risiko yang proaktif telah membolehkan ASB 3 Didik memberikan pulangan kompetitif secara konsisten," tambahnya.

Mengulas lanjut, PNB memberitahu, pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

"Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2023.

"Urus niaga ASB 3 Didik di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platform digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 hingga 30 Jun 2023 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan," katanya.

Ujarnya, pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Julai 2023 atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 3 Julai 2023.