Pulau Pinang cari lokasi sesuai baharu

SMK Convent Street Light yang bakal ditutup selepas pemilik tanah akan mengambil tanah semula. Gambar kecil:Chow Kon Yeow
SMK Convent Street Light yang bakal ditutup selepas pemilik tanah akan mengambil tanah semula. Gambar kecil:Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk mencari lokasi lain yang sesuai bagi penempatan semula tiga sekolah yang bakal ditutup selepas pemilik tanah mahu mengambil semula tanah mereka.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tiga sekolah mubaligh yang terlibat adalah Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Convent Light Street, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Light Street dan SMK Convent Pulau Tikus.

Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan kementerian terbabit untuk melihat sama ada kerajaan negeri boleh menyediakan tapak baharu untuk menempatkan ketiga-tiga sekolah tersebut.

"Sekiranya perlu, kerajaan negeri akan melihat tanah yang diserahkan pihak pemaju sama ada ia sesuai untuk penempatan semula sekolah-sekolah ini. Kerajaan negeri telah menerima tanah tersebut sejak lima hingga enam tahun lalu.

"Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri juga mempunyai inventori tanah yang diserahkan pemaju sejak beberapa tahun lalu. Oleh demikian, kita akan berbincang mengenai perkara ini nanti," katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai tiga sekolah mubaligh yang akan ditutup pada 2024 selepas pemilik tanah mengambil semula tanah berkenaan.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sudah menerima surat permohonan untuk mengadakan pertemuan dari pemilik tanah, The Lady Superior of the Society of St Maur.

"Surat itu bertujuan memohon untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan isu pengambilan tanah terutamanya bagi SRK dan SMK Convent Light Street.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri telah menetapkan 19 Julai ini untuk pertemuan itu bagi membincangkan isu ini dengan lebih mendalam. Selain itu, ia juga bagi membolehkan pihak tuan tanah memberi penerangan mengenai rancangan pembangunan di tanah tersebut," katanya.

Beliau berkata, SRK dan SMK Convent Light Street yang dibina atas tanah primer dan sekunder itu terletak dalam tapak warisan.

"Bangunan kedua-dua sekolah itu juga disenaraikan sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara. Sebarang rancangan pembangunan perlu dikenakan kawalan pembangunan di bawah peraturan zon warisan.

"Buat masa ini, kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai sebarang permohonan pembangunan oleh pemilik tanah untuk tanah itu. Mungkin akan ada permohonan nanti, apa-apa pun kita akan tunggu sesi penerangan oleh pemilik tanah pada Julai nanti," katanya.